Friday, June 1, 2018

Hutang negara: Jual saham Petronas jika terpaksa, kata DPIM

tyrazalhe


Dewan Perniagaan Islam Malaysia syor 75 peratus saham syarikat minyak milik negara diwakafkan sebagai jaminan, beli balik jika berupaya

BANGI – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) hari ini, menolak cadangan supaya kerajaan menjual 25 peratus pegangan saham dalam Petroliam Nasional (Petronas) bagi mengurangkan beban hutang negara yang mencecah hampir RM1 trilion.

Merujuk kepada artikel dalam akhbar The Star bertarikh 26 Mei lalu bertajuk ‘Listing of Petronas among options to increase revenue’, DPIM pada masa sama, mencadangkan 75 peratus saham Petronas diwakafkan, sekiranya kerajaan terpaksa juga menjual 25 peratus saham syarikat minyak negara.

Pemangku Presiden DPIM, Mohammad Sahar Mat Din berkata, setakat ini tiada keperluan bagi kerajaan dan Petronas untuk menjual pegangan saham itu, malah Petronas masih mencatatkan keuntungan, walaupun harga minyak di pasaran antarabangsa berada pada tahap agak rendah.

Bagaimanapun, katanya, DPIM bersetuju dengan langkah itu jika terdapat keperluan yang benar-benar mendesak bagi mengapungkan 25 peratus saham Petronas untuk mendapatkan dana.

“Pihak DPIM bersedia untuk bersetuju dengan langkah tersebut tetapi bersyarat. Baki 75% saham Petronas perlu diwakafkan bagi menunjukkan langkah jaminan syarikat kepada rakyat bahawa tiada lagi peratusan pegangan saham Petronas yang akan dijual pada masa akan datang, dan Petronas juga perlu menebus semula saham-saham berkenaan jika memperoleh keupayaan berbuat demikian. 

“Hakikatnya, sudah terlalu banyak syarikat berkaitan kerajaan yang tenat atau hampir gulung tikar kerana campur tangan politik yang melampau. Kerajaan juga perlu mengambil langkah yang lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah beban hutang negara dan tidak mengambil jalan mudah dan jangka pendek dengan menjual saham dan aset negara bagi menampung bebanan tersebut. 

“Sebenarnya, kita dapat juga saksikan banyak GLC (syarikat milik kerajaan) yang dahulunya telah diswastakan sedikit demi sedikit atas campur tangan politik, akhirnya terlepas langsung hak miliknya. Terdapat juga beberapa daripada kepentingan bisnes bernilai yang telah menjadi milik asing, sehingga merosot kedudukan pegangan kepentingan negara,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohammad Sahar berkata, kerajaan perlu mencari satu formula yang lebih mantap untuk mengelakkan GLC-GLC berwibawa seperti Petronas, Felda, PNB, Tabung Haji dan seumpamanya daripada juga terlepas pegangan satu hari nanti.

Beliau berkata, pengalaman pahit dasar-dasar kerajaan sebelum ini berkaitan GLC, menuntut kita waspada dan segera bertindak berani melindungi aset strategik negara, termasuk saham-saham dan asset-aset milik warga Malaysia, daripada terlepas pegangan kepada pihak asing. 

“Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berpandangan bukan sahaja kita tidak harus mengizinkan campur tangan politik melampau, kita sebenarnya harus bertindak lebih berani dari itu, jika hendak menjamin warisan GLC seperti Petronas dapat dikekalkan berpanjangan untuk manfaat bangsa dan negara. 

“Sekiranya hendak dikekal dan diselamatkan GLC-GLC yang berwibawa dan besar manfaatnya ini, cara yang lebih sesuai ialah kita wakafkan sahaja mereka, menjadikan mereka badan-badan Waqaf Korporat kebangsaan, demikian juga dengan banyak GLC lain di peringkat Pusat dan Negeri-Negeri,” katanya.

Katanya, terdapat badan-badan Waqaf Korporat seperti Waqaf An-Nur Corporation Berhad dan AWQAF Holdings Berhad yang bersedia berkongsi idea dan kepakaran bagi membawa agenda Waqaf Korporat ke peringkat yang lebih tinggi.

“Dengan adanya agenda Waqaf Korporat yang telah pun dilaksanakan dan telah diberi dokongan perundangan oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, DPIM penuh yakin dan percaya bahawa ia merupakan satu formula yang dapat melindungi bukan sahaja kepentingan anak bangsa di zaman ini, bahkan juga kepentingan seluruh generasi warganegara Malaysia di zaman-zaman mendatang,” katanya.


No comments: