Saturday, June 2, 2018

Hanya masa tentukan kedudukan MCA, kata Ka Siong

Manzaidi Mohd Amin
Wee Ka Siong
Wee Ka Siong


KUALA LUMPUR – MCA akan membuat keputusan sendiri tanpa lagi mengambil kira pandangan atau cadangan daripada rakan gabungannya, UMNO.

Dengan nada angkuh, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, MCA tidak akan memikul setiap kesalahan yang dilakukan UMNO sehingga Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada PRU-14 lalu.

“Kita tidak akan lagi memikul tanggungjawab atas kesalahan UMNO dan BN sekarang bukan seperti dahulu lagi. Kita akan buat keputusan sendiri,” katanya yang dipetik dalam wawancara beliau bersama Sin Chew Daily semalam.

Pada pilihan raya umum lalu, MCA bertanding di 37 kerusi Parlimen dan hanya menang satu kerusi sahaja, berbanding tujuh kerusi yang dimenangi pada PRU sebelum ini.

Ka Siong yang mendapat 17,076 undi satu-satunya calon tunggal MCA yang memenangi kerusi Parlimen Ayer Hitam dengan majoriti tipis 303 undi menewaskan calon DAP, Liew Chin Tong (16,773) dan calon Pas, Mardi Marwan (4,975 undi).

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan berkata, apa sahaja yang dikatakan oleh bekas menteri dan pemimpin (UMNO) dahulu, dirinya tidak akan ‘membayar’ bagi pihak mereka.

“Maaf, kami tidak akan lagi berbuat demikian. Sudah banyak kami memikul kesalahan orang lain (UMNO). Daripada menang 15 kerusi PRU12, berkurangan kepada tujuh PRU13 dan satu PRU14,” katanya yang menyerahkan kepada masa untuk menentukan kedudukan MCA dalam BN. – MalaysiaGazette


No comments: