Friday, June 1, 2018

Hannah Yeoh: Batalkan MRT3 tapi tambah baik khidmat bas di Bukit Kiara

MALAYSIAKINI


   
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata beliau menyokong projek MRT3 dibatalkan buat masa ini.

"Saya bersetuju dengan pembatalan MRT3 buat masa ini. Kita perlu mengkaji kebaikan dan keburukan penggunaan MRT & LRT sedia ada dan keberkesanannya dalam mengurangkan kesesakan," katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Beliau berkata kerajaan sebaliknya patut menyalurkan dana ke arah meningkatkan dan memperluaskan perkhidmatan bas di kawasannya.

Perkhidmatan bas yang cekap akan mengelak pembinaan lebih banyak struktur di kawasan Mont Kiara, yang menurutnya, sudah pun mempunyai beberapa lapisan jejambat.

"Jalan Duta, Mont Kiara, Sri Hartamas, Pusat Sains Negara, Bukit Kiara dan Pusat Bandar Damansara memerlukan pengangkutan awam kerana kepadatan penduduk di situ," katanya.

Beliau turut menyentuh keadaan perkhidmatan LRT sekarang, yang kurang perkhidmatan bas pengangkut dan kemudahan tempat letak kereta, yang membuat ramai kekal memandu.

Sebaliknya, beliau berkata Kementerian Pengangkutan juga perlu mengkaji semula caj tol sekitar Lembah Klang dengan langkah menyeluruh untuk memaksimumkan penggunaan jalan dan infrastruktur sedia ada.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembatalan pembinaan MRT3 pada hari Rabu.

Laluan MRT3 sepatutnya mempunyai beberapa stesen di seluruh kawasan Bukit Kiara, yang tidak mempunyai stesen LRT atau MRT yang berdekatan.

No comments: