Saturday, June 2, 2018

Generasi yang sungguh-sungguh sayang Malaysia

 


ULASAN| Kelmarin, selepas musyawarah kabinet, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembentukan Tabung Harapan Malaysia untuk membolehkan rakyat Malaysia memberikan sumbangan untuk menangani hutang negara.

Ramai yang menyokong usaha ini. Di internet saya nampak ada yang telah pun memuat naik keratan slip bank bukti sumbangan mereka sejurus selepas pengumuman.

Ada yang menyatakan hasrat untuk menderma lalu menggalakkan rakan-rakan lain untuk turut berbuat demikian.

Ada seorang warga Malaysia yang bekerja di Singapura berkata bahawa beliau akan mengeluarkan 10 peratus wang CPF (semacam KWSP, di negara Singapura) untuk disalurkan ke Tabung Harapan.

Semangat rakyat Malaysia sayangkan tanah air begitu terserlah.

Hakikatnya, sebelum Tabung Harapan ini dilancar sudah pun wujud usaha persendirian di kalangan rakyat Malaysia untuk menyumbang ke arah membayar hutang negara yang kini mencecah RM1 trilion tersebut.

Namun, ada juga yang mempersoalkan kesesuaian tindakan tersebut.

Ada juga yang sempat memperli, ““Takkan kerajaan pun nak minta derma?”




Ada yang menggelarnya “politik tin Milo”, merujuk kepada tabung segera yang diperbuat daripada tin Milo kosong di tangan ahli parti di perhimpunan parti politik untuk mengutip derma orang ramai.
Derma untuk selamatkan negara bukan perkara baru.

Mungkin mereka lupa, ataupun tidak tahu bahawa negara ini didirikan atas sumbangan derma rakyat pelbagai kaum.

Apabila Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman ingin pergi ke London pada tahun 1955 bagi menuntut British menganjurkan pilihan raya sebagai persiapan menjadi sebuah negara merdeka, beliau merayu derma daripada orang ramai ketika itu sebab tiada wang buat tambang perjalanan.

Rakyat ketika itu, tidak kira kaum dan agama, tidak kira miskin kaya, lelaki perempuan, telah menghulurkan apa yang mereka mampu.

Yang berduit serahkan duit. Yang bergelang emas, lucutkan gelang, yang bercincin pusaka tanggalkan cincin, sampai rantai mas kahwin pun diinfak untuk membolehkan Tunku pergi ke London.

 
Orang miskin yang tidak berpunya barang kemas juga tidak ketinggalan memberi derma merdeka.

Mereka memberikan hasil kebun dan ladang, padi dan pisang, penoreh getah yang papa kedana menyerahkan getah sekeping daripada empat keping yang mereka peroleh setiap hari, ada yang berikan pakaian dan pelbagai benda yang mampu.

Semuanya ingin membuat sesuatu demi kemerdekaan tanah air tercinta.

Hutang perang UK

Kempen mengutip derma untuk selamatkan negara bukan sahaja pernah dibuat di Malaysia.

Pada tahun 1919, Stanley Baldwin (bawah) yang pada ketika itu setiausaha kewangan Perbendaharaan UK (beliau kemudian menjadi perdana menteri pada tahun 1923) merayu kepada golongan berada negara itu untuk menyumbang ke arah melangsaikan hutang negara yang tinggi akibat Perang Dunia Pertama.




Baldwin sendiri ketika itu mendermakan 20 peratus daripada harta keluarga beliau kepada negara. Lapan tahun selepas rayuan Baldwin, seorang penderma yang tidak bernama telah menyumbangkan £500,000 kepada Tabung Kebangsaan untuk tujuan tersebut.

Oleh kerana jumlah derma terlalu sedikit berbanding hutang kerajaan ketika itu, maka dana Tabung Kebangsaan tidak disentuh. Hari ini Tabung Kebangsaan tersebut bernilai £400 juta.

No comments: