Saturday, June 2, 2018

Dr M fokus Dasar Pandang ke Timur dalam lawatan Jepun

 
Perdana menteri berharap lawatan itu juga akan memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun.





LANGKAWI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu memfokuskan Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkannya pada 1980-an apabila berucap dalam Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-24 di Jepun, pada 11 dan 12 Jun ini.

Mengesahkan kepada pemberita di sini yang beliau akan ke Jepun bagi menghadiri persidangan tahunan anjuran Nikkei-Shimbun itu, beliau berharap lawatan itu juga akan memperkukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun.

“Saya pergi ke Jepun setiap tahun untuk (menghadiri forum dan) berbincang tentang masa depan Asia. (Tahun ini) saya mahu cakap lebih sedikit tentang Dasar Pandang Ke Timur,” katanya selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan ahli Pakatan Harapan Langkawi, hari ini.

Lawatan ke Jepun itu yang dijadualkan minggu depan merupakan lawatan rasmi pertama Dr Mahathir ke luar negara sejak dilantik sebagai perdana menteri ke-7 Malaysia.

Sementara itu, perdana menteri berkata, kerajaan belum sampai ke tahap membincangkan sebarang perjanjian, khususnya membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC) bagi melunaskan hutang 1MDB.

“Kami belum sampai ke tahap itu lagi. Kami masih mengkaji implikasi perjanjian pinjaman dan terma pinjaman,” katanya.

No comments: