Tuesday, April 4, 2017

TMJ: Gomez mungkin bukan jurulatih Malaysia

MALAYSIAKINI


Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengesahkan Mario Gomez belum disahkan sebagai ketua jurulatih baru skuad bola sepak kebangsaan.

Walaupun sudah mengumumkan bekas pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT) itu akan menggantikan posisi Datuk Ong Kim Swee 25 Mac lalu, Tunku Mahkota Johor mendedahkan bahawa kontrak bersama Gomez belum disepakati.

Ia susulan pengendali dari Argentina itu dilaporkan menuntut gaji yang tinggi.

"Ada kemungkinan Mario Gomez tidak menjadi jurulatih Malaysia," katanya seperti dilaporkan FourFourTwo, sebentar tadi.

Terdahulu, Tunku Ismail mengadakan pertemuan dengan wakil editor dan wartawan sukan media arus perdana di Johor Bharu, hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, rundingan dengan Gomez masih berjalan dan sebarang keputusan daripada jurulatih itu belum diputuskan.

"Dia mahu gaji lebih tinggi daripada apa yang diperolehi di JDT, tetapi ia tak mungkin berlaku. JDT adala
h sebuah kelab dan kewangannya berbeza.. di sini (FAM) kami akan cari jalan untuk tingkatkan kewangan.

"Rundingan masih berjalan. Gomez belum lagi menyatakan ya atau tidak," katanya dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini, Gomez dilaporkan sudah memilih jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe sebagai penolongnya yang kini secara rasmi menyatakan hasrat membantu skuad Harimau Malaya.

"Satu-satunya syarat saya adalah untuk melantik seorang pembantu jurulatih tempatan dan Gomez pilih Cheng Hoe.

"Terpulang kepada Tan Cheng Hoe jika Gomez tidak menjadi jurulatih (Malaysia). Jika dia masih mahu terlibat dalam pembinaan pasukan negara, ada tempat untuknya," kata Tunku Ismail.

No comments: