Keputusan ujian yang dikeluarkan pada 27 Mac lalu menunjukkan ia negatif DNA babi.
TELUK INTAN: Tiada Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi dikesan pada ternakan ikan di sebuah kolam di Kuala Dipang, Kampar berdasarkan ujian makmal yang dijalankan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak Dr Bah Piyan Tan berkata Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur telah menjalankan ujian persampelan terhadap ikan dan air kolam berkenaan sebanyak tiga kali.
Katanya keputusan ujian yang dikeluarkan pada 27 Mac lalu menunjukkan ia negatif DNA babi.
“Kita tak boleh nak kata (keputusan) bebas (DNA babi sepenuhnya), ini kerana biasanya lepas 72 jam ikan makan (bangkai babi) pihak penyelidik sukar mengesan DNA itu kerana ia telah dicernakan.
“Mungkin semasa ambil sampel kejadian (beri ikan makan bangkai babi) telah berlaku lama, namun penyelidik ada menemukan beberapa tulang dan kesan daging haiwan di kawasan kolam,” katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong sempena program Gelombang Tani Nasional (GTN) 2017 di sini hari ini.
Ditanya sama ada kolam bekas lombong seluas lima hektar itu masih beroperasi atau sebaliknya, Dr Bah berkata Jabatan Perikanan tiada kuasa untuk menutupnya kerana ia di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah dan Tanah Kampar.
“Cumanya semakan memang mendapati kolam ternakan tersebut tidak pernah didaftarkan di bawah Jabatan Perikanan, beroperasi secara haram dan tidak mendapat kelulusan tapak dari Pejabat Tanah Kampar,” katanya.
Kolam ternakan ikan yang dipercayai diusahakan secara haram di atas tanah lombong di Kuala Dipang itu diserbu pihak berkuasa pada 7 Mac susulan maklumat bahawa ikan di kolam itu diberi makan bangkai babi.
Operasi menggunakan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu membabitkan beberapa jabatan seperti Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam Perak; Jabatan Alam Sekitar; Pejabat Daerah dan Tanah Kampar serta polis.-Bernama
No comments:
Post a Comment