Friday, April 7, 2017

RUU 355: Pembangkang tetap boleh berbahas sidang Parlimen akan datang

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen pembangkang tetap berpeluang untuk membahaskan usul pindaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (Akta 355) pada sidang akan datang.
 
Penganalisis politik, Prof Bersekutu Ahmad Tarmizi Talib berkata bukan hanya ahli Parlimen pembangkang malah wakil rakyat bukan beragama Islam juga akan mendapat ruang yang seluasnya untuk membahaskan isu tersebut kelak.
 
"Sesi perbahasan tak habis lagi, jadi bila ditangguhkan maknanya dia akan buka  semula (untuk dibahas). Jadi, tak timbul isu tak diberi peluang. Dah tangguh nak beri peluang apa lagi? Bukan mereka sahaja tak dapat peluang, ramai lagi nak bahas sebab tak habis lagi.
 
"Bendanya tak selesai lagi jadi tunggulah peluang. Adalah lah peluangnya nanti," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Semalam, ahli Parlimen pembangkang membantah keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menangguhkan perbahasan usul cadangan pindaan Akta 355 yang dibentang Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Mereka mempersoalkan hak mereka sebagai sorang ahli Parlimen untuk membahaskan isu tersebut.
 
Sementara itu, Pandikar yang dijumpai pemberita di majlis Ucaptama dalam Seminar Ahli Parlimen Komanwel Asia Tenggara di bangunan Parlimen, hari ini berkata beliau memilih untuk 'menjaga kebajikan kakitangannya'.
 
Ujar Pandikar, beliau dan pegawainya serta ahli Parlimen yang lain terpaksa bersengkang mata selama 20 jam bagi memastikan segala RUU berkaitan urusan kerajaan diselesaikan.
 
“Sebab itu kemahuan kerajaan yang ingin menyelesaikan semua rang undang-undang, tetapi saya tidak mahu duduk lama sebab semua kakitangan saya termasuk Setiausaha Dewan Rakyat tidur di Parlimen.
 
“Jadi itu kuasa saya, saya tidak mahu duduk lagi mendengar hujah yang saya rasa tidak masuk akal bagi saya. Jika mereka mengatakan saya ‘bloody fool’, maka sepanjang sembilan tahun saya telah mendengar hujah mereka yang juga selama ini ‘bloody fool’,” katanya. 
 
Usul meminda Akta 355 adalah bagi meningkatkan had hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan berbanding hukuman sedia ada sekarang yang hanya memperuntukkan penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan.
 
 

No comments: