ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun ke-71 Umno di Stadium Nasional Bukit
Jalil pada 11 Mei ini akan dipenuhi dengan program keagamaan, kata
setiausaha agungnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata sambutan kali ini
sedikit berbeza memandangkan ia diadakan pada malam Jumaat yang juga
secara kebetulan adalah malam nisfu syaaban.
"Program ini akan diisi dengan program keagamaan dan kita juga akan
mengadakan live streaming (lintas langsung) dari tapak acara yang akan
dibangunkan di Pusat Dagangan Dunia KL Putra (KL PWTC), di mana kita
akan tunjukkan acara pecah tanah (permulaan kerja-kerja fizikal
pembinaan)," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada
lebih 100 pelajar pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2016
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, hari ini.
Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM20,000
kepada setiap 25 sekolah di Putrajaya. Ia adalah sumbangan parlimen
Putrajaya.
Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa BN akan tetap menang jika
pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diadakan tahun ini atau tahun depan,
Tengku Adnan berkata jentera Umno telah bersedia untuk digerakkan pada
bila-bila masa.
"Kita sentiasa bersedia tetapi kita akan tunggu arahan presiden kita (Najib). Jentera-jentera kita bergerak.
"Sekarang ini kita minta setiap negeri menggerakkan jentera mereka dan
saya percaya bahawa bila-bila dipanggil (pilihan raya) kita bersedia,"
kata Tengku Adnan.
No comments:
Post a Comment