Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PAS Selangor akan tetap berada di dalam kerajaan negeri,
meskipun Muktamar Tahunan PAS pada hujung bulan ini membuat keputusan
memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.
ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi kemudiannya menegaskan, tahaluf siyasi PAS
sama ada di peringkat kerajaan dan parti adalah dua perkara yang
berbeza.
"Tahaluf di peringkat kerajaan berbeza dengan tahaluf di peringkat
parti. Tahaluf di peringkat parti adalah tahaluf yang mana
masing-masing, menerusi persetujuan, bahawa kita bersetuju untuk tidak
bersetuju kerana setiap parti ada matlamat dan prinsip tersendiri. Dalam
masa yang sama kita menghormati matlamat dan prinsip parti lain.
"Tahaluf menerusi kerajaan pula adalah menjaga kemaslahat rakyat. Di
mana kita mempunyai kebersamaan dalam matlamat. Itu jauh lebih penting
dari melayan matlamat parti masing-masing," kata bekas exco itu kepada
Antarapos, hari ini.
Sallehen mengulas keperluan untuk PAS terus kekal di dalam pentadbiran
kerajaan negeri meskipun parti itu akan memuktamadkan tahaluf siyasinya
dengan PKR di dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-63 di Kedah, hujung
bulan ini.
Gesaan supaya PAS memutuskan kerjasama dengan PKR semakin hebat
diperkatakan selepas beberapa PAS kawasan dan sayap meluluskan usul
sedemikian, rentetan 'pengkhianatan' PKR yang menjalin hubungan baik
dengan DAP dan Amanah.
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani
berkata tahaluf siyasi PAS dengan PKR hanya wujud di bawah pentadbiran
kerajaan Selangor, pimpinan komponen Pakatan Harapan (PH).
PAS bersama di dalam pentadbiran kerajaan Selangor semenjak 2008,
selepas gabungan Pakatan Rakyat (PR) memenangi pilihan raya umum pada
tahun itu.
Diajukan hal itu sekali lagi, Sallehen bertegas tiada keperluan untuk
PAS menarik diri dari kerjasama berkenaan apatah lagi kemenangan mereka
adalah hasil kepercayaan rakyat yang memilih dan mengundi mereka.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, parti itu di peringkat
Selangor akan 'berubah arah' sekiranya PKR dan DAP tidak lagi mahukan
khidmat mereka.
"Buat masa ini PAS tidak akan keluar, bahkan kewujudan PAS penting untuk menjaga kemaslahatan rakyat.
"Jika muktamar memutuskan hubungan dengan PKR, PAS menerusi kerajaan
akan terus berada di dalam kerajaan. Kecuali jika PKR dan DAP hendak
bekerjasama untuk singkirkan PAS daripada kerajaan," tegasnya.
No comments:
Post a Comment