SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Gandingan mantap tiga
nama besar industri muzik tempatan (dari kiri) Datuk Siti Nurhaliza,
Yasin Sulaiman dan Datuk Jamal Abdillah telah menjadikan persembahan
pembukaan 'Anugerah Juara Lagu ke-30' momen terbaik malam Ahad lalu. -
Foto TRP/Syahirah Roslan
KUALA LUMPUR, Walaupun hanya tiga hari berlalu, penganjuran Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL30) yang berlangsung malam Ahad lalu masih lagi diperkatakan walau tidak sehangat seperti tahun-tahun sebelum ini.
Entah mengapa, sebagai pengikut tegar AJL
sejak dari tahun 1986, tahun ini saya merasakan ada sesuatu yang kurang
dan tidak memberikan impak yang besar seperti lazimnya.
Saya sendiri tertanya di manakah silapnya
AJL30 sehingga ia tidak diraikan sebaik mungkin seiring dengan ulang
tahunnya yang sudah mencecah tiga dekad.
Seharusnya, pada usia itu, sambutan yang
perlu diberikan terhadap AJL seharusnya setimpal dengan tema
pertandingan itu tahun ini yang berbunyi tiga dekad mencipta fenomena.
Apakah lagu yang bertanding tahun ini
tidak sehebat atau tidak mencabar seperti tahun-tahun sebelum ini atau
mungkin pemilihan lokasinya di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor
yang tidak berupaya menaikkan semangat penonton untuk meraikan AJL?
Dari
satu aspek lain, mahu atau tidak, semua pihak harus akui, industri
muzik ketika ini sudah jauh berubah. Konsep muzik tatkala ini lebih ke
arah untuk memenuhi kehendak generasi muda dan baharu yang hanya tahu
berhibur tanpa menghargai nilai muzik sebenar.
Mengapa di zaman kegemilangan AJL,
katakanlah, 10 tahun lalu masih lagi mampu unuk mencipta fenomena dan
menjadi bualan ramai sehingga beberapa ketika lamanya?
Sedangkan AJL30, tidak ramai yang
memperkatakannya walhal ia seharusnya mampu mencipta fenomena agar terus
menjadi bualan ramai untuk beberapa ketika.
Berpeluang menonton AJL30 secara langsung
di Shah Alam tempoh hari bagaikan memberikan satu indikasi bahawa
sesuatu perlu dilakukan oleh pihak TV3 terutamanya untuk terus
memperkasakan AJL untuk masa akan datang.
Sementelah diangkat sebagai satu-satunya
pertandingan berprestij yang mengiktiraf komposer dan penulis lirik
tempatan, maka, AJL sewajarnya harus dipelihara sebaik mungkin agar
martabat AJL tidak akan terus diperlekehkan.
Dari perspektif saya yang menonton AJL30,
saya melihatnya bukan lagi sebuah pertandingan gah yang satu ketika
dahulu merupakan sebuah acara yang cukup dinanti-nantikan oleh hampir
kesemua rakyat Malaysia.
Bahkan, lagu-lagu yang bertanding ketika
itu semuanya mempunyai kualiti dan nilai estetika tinggi yang
mempamerkan kehebatan masing-masing sehingga peminat sendiri sukar untuk
meramal siapakah bakal pemenang.
Sebaliknya, AJL di mata saya sudah
menjadi sebuah acara hiburan biasa yang langsung tidak membangkitkan
rasa pertandingan. Lagu-lagu yang bertanding pula tidak berupaya untuk
menjadikan AJL sebagai pentas dalam mempamerkan kehebatan karya
tempatan.
Mungkin faktor usia saya juga yang
melihat AJL semakin suram tetapi percayalah, ramai di kalangan peminat
acara itu mahu AJL kembali gah seperti mana yang pernah dicipta satu
ketika dahulu.
Benar. Kesalahan tidak seharusnya
dituding 100 peratus kepada TV3 selaku penganjur kerana mereka memberi
ruang dan platform menerusi program mingguan Muzik-Muzik untuk mengetengahkan lagu-lagu ciptaan anak tempatan.
Mereka perlu mengikut arus muzik perdana
masa kini dan mahu atau tidak, seperkara yang perlu diakui adalah faktor
populariti biarpun hampir kebanyakan lagu hari ini tidak memberikan
definisi sebenar tentang erti sebuah karya.
Saya percaya ramai yang merindukan
persembahan penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris,
misalnya yang dikenali akan berhabis-habisan memberikan persembahan
terbaik untuk lagu berentak irama Malaysia dan etnik kreatif.
Begitu juga dengan kehadiran penyanyi
yang memiliki suara hebat seperti Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Nora, Liza
Hanim, Aishah dan Datuk M. Nasir yang satu ketika dahulu nama-nama
besar untuk AJL.
Sebagai media yang menjadi perantara
kepada masyarakat, perkara ini sudah acap kali dibahaskan di media
tetapi akhirnya ia ibarat mencurah air di daun keladi yang tiada siapa
endahkan.
Semuanya berbalik kepada penghargaan
daripada masyarakat negara ini yang kurang bijak menilai karya terbaik
yang membuatkan stesen radio, syarikat rakaman dan penyanyi itu sendiri
sanggup untuk ‘melacurkan’ prinsip mereka demi survival.
Itu adalah satu realiti di negara ini.
Jadi, apabila perkara ini terjadi, maka, sebagai stesne penyiar, TV3
harus juga tunduk kepada kehendak pasaran demi untuk terus menghidupkan
AJL.
Di sebalik itu, saya memuji segelintir
karyawan muzik tempatan yang masih tidak kenal erti putus asa dalam
menghasilkan karya yang mempunyai nilai kualiti tinggi untuk terus
dikongsikan bersama masyarakat.
Cuba tanya kepada diri masing-masing
mengapa lagu yang pernah bertanding mahupun bekas juara AJL sehingga ke
hari ini masih diminati dan menjadi siulan ramai. Mengapa pula hampir
kebanyakan lagu dalam pasaran ketika ini nikmatnya hanya seketika dan
tidak mampu untuk dinikmati dalam tempoh lama?
Seperkara lagi yang menarik perhatian
saya apabila ketiadaan bekas juara AJL pada hari pertandingan itu
terutama M. Nasir yang merupakan komposer paling banyak memenangi Juara
Lagu iaitu empat kali.
Sehinggakan namanya langsung tiada dalam
senarai artis yang membuat persembahan sedangkan dia layak berbuat
demikian bagi meraikan tiga dekad penganjuran AJL. Jangan pula bila
beliau sudah tiada baru hendak membuat segmen khas pula.
Sempat juga saya bertanya kepada pihak
TV3 mengapa penyanyi bersuara hebat, Aishah tidak dijemput untuk
meraikan ulang tahun AJL sedangkan Aishah penyanyi pertama yang
memenangi AJL lebih daripada sekali sebelum Siti Nurhaliza mengambil
alih gelaran itu.
Adakah kerana perbezaan ideologi politik menyebabkan Aishah tidak dijemput atau diberi peluang membuat persembahan.
Seharusnya Aishah diberi peluang itu agar
ia dapat membuka mata dan membuktikan kepada generasi baharu
terutamanya bahawa industri muzik pernah memiliki penyanyi bertaraf
antarabangsa seperti Aishah.
Ini hanyalah secebis coretan yang bukan
untuk menjatuhkan TV3 dan AJL tetapi untuk menyedarkan semua pihak
bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk memartabatkan kembali industri
muzik tempatan agar kembali meriah seperti dahulu.
1 comment:
Post a Comment