KOTA BHARU,  Sebanyak 300 tin cat jenama DSV Pink yang ditempat khas dari sebuah kilang di Kuala Lumpur bakal digunakan bagi mengecat bahagian luar dan dalam Stadium Sultan Muhamad Ke IV.


Di samping itu seramai 50 pekerja digunakan untuk menjalankan kerja mengecat yang bermula di bahagian dalam sejak semalam.

Difahamkan, projek mengecat dijalankan oleh Syarikat Impian Berkat Trading selepas dilantik oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa).

Menurut sub-kontraktor yang mengetuai kerja terbabit, Hassanuddin Salleh, pekerja yang menjalankan tugas terbahagi kepada dua kumpulan dan mereka akan berkerja bermula jam.8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Menurutnya, kerja mengecat bahagian dalam sudah bermula semalam, termasuk pagar dan juga kerusi manakala selebihnya akan dibuat berperingkat-peringkat termasuk di astaka, tempat duduk batu, bilik persalinan dan lain-lain.

“Kita menjangkakan kerja mengecat ini akan selesai pada 11 Februari depan iaitu dua hari sebelum perlawanan pertama Liga Super Malaysia yang dijadualkan bermula pada 13 Februari depan.

“Kita jangka kerja mengecat ini akan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga minggu lagi.

“Kami semua sebenarnya amat berbesar hati kerana dapat melakukan kerja mengecat stadium keramat ini.Saya terasa sebagai satu penghargaan kepada kami semua kerana ditugaskan mengecat baru stadium yang sudah berusia 49 tahun ini,” katanya.