Kira-kira 100 orang termasuk wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di Dataran Zero Kilometer di Sungai Petani semalam bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Pada masa sama, peserta perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat itu, turut berharap kemelut kepimpinan di Kedah itu diselesaikan secara baik.
Wakil peserta perhimpunan yang juga Pengerusi Perkasa Merbok, Mejar Anuar Abdul Hamid berkata masalah yang membabitkan pemimpin-pemimpin Umno negeri itu menjadi besar kerana dibangkitkan secara terbuka.
"Perkara ini boleh diselesaikan secara baik, bila mereka buat secara terbuka, inilah reaksinya (perhimpunan)," katanya kepada Bernama semalam.
Sejak tiga hari lepas, Mukhriz menerima tekanan daripada beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan Umno negeri yang menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi badan perhubungan Umno negeri.
Anuar berkata susulan situasi yang berlaku itu, 'suhu' politik di Kedah semakin panas dan ia tidak baik untuk negeri dan negara.
"Mukhriz baru tiga tahun mentadbir negeri, jika nak buang atau usir, itu tidak betul," katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment