Thursday, January 21, 2016

Jakim keluarkan fatwa haram penyertaan dalam IS

Militan
Gambar hiasan


SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini memutuskan haram bagi umat Islam untuk menyertai kumpulan militan IS.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama menerusi sebuah kenyataan berkata,  keputusan tersebut dibuat setelah meneliti fakta mengenai kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad atas nama IS di bumi Syria.

Menerusi kenyataan hari ini, jawatankuasa tersebut berkata, kecenderungan tersebut adalah disebabkan oleh kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar mengikut Hukum Syarak.

“Ia bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada kekufuran kerana mereka menghalalkan darah sesama umat Islam.

“Muzakarah bersetuju menegaskan bahawa perjuangan kumpulan militan IS bertentangan dengan ajaran Islam, amalan demokrasi dan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa keputusan tersebut selaras dengan prinsip dan ajaran Islam yang menolak keganasan dan pembunuhan sesama manusia,

“Kumpulan IS membawa ideologi keganasan dan melakukan pembunuhan, radikal dan ekstrem. Ia bercanggah dengan prinsip ajaran Islam dan ia boleh menggugat keselamatan dan kestabilan negara.

“Muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam supaya tidak mudah terpengaruh atau terjebak dengan keganasan dan propaganda perjuangan IS kerana perjuangan mereka tidak tergolong sebagai jihad dan kematian mereka juga tidak dikategorikan sebagai syahid menurut kerangka hukum syarak,” katanya lagi.

No comments: