KUALA LUMPUR - Isu vape terus hangat dengan pendekatan berlainan yang diambil pihak berkuasa beberapa negeri mengelirukan lagi keadaan.
Sementara mereka yang menghisap vape serta penjual barangan keperluan vape berkeras yang 'vaping' itu tidak salah, sebahagian besar daripada masyarakat pula berpendapat di sebaliknya.
Ramai yang menganggap isu ini memerlukan perhatian kerana ia tidak dikawal daripada segi perundangan seperti tembakau serta rokok.
Melihat kepada pelbagai pendekatan yang diambil di peringkat negeri dalam menangani isu vape ini, saya bimbang suatu hari nanti akan ada peraturan berbeza di negeri-negeri di Malaysia untuk masalah lain.
Memang ada banyak sebab untuk sesiapa pun berasa bimbang dengan endemik vape serta kesannya kepada masyarakat.
Walaupun didakwa cecair vape atau e-juice ini bebas daripada bahan nikotin, pernah berlaku cecair itu dicampur dengan dadah.
Baru-baru ini tujuh orang ditahan polis ekoran penemuan cecair vape yang disyaki mengandungi ganja. Cecair itu dipercayai dipasarkan menerusi media sosial dan dihantar terus kepada pembeli menggunakan khidmat kiriman cepat (courier).
Seorang penjual rokok elektronik atau vape juga didenda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Kota Baharu atas tuduhan menjual dan memiliki secara tidak sah cecair nikotin yang disifatkan sebagai beracun.
Terdapat juga pelbagai insiden yang menunjukkan betapa berbahayanya vape jika tidak dikawal bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga mereka yang lain dan persekitaran.
Tidak lama dahulu bateri vape milik penumpang Malindo Air tiba-tiba meletup menyebabkan penumpang lain cemas. Dalam satu lagi insiden, seorang lelaki mengalami kecederaan teruk selepas rokok elektronik meletup di mulutnya.
Bagaimanapun, tindakan yang diambil pihak berkuasa berlainan begitu mengelirukan.
Setakat ini, Johor telah mengharamkan sepenuhnya vape sementara Pahang mengeluarkan fatwa mengharamkannya sementara Perak mengarahkan semua pihak berkuasa di negeri itu berhenti mengeluarkan lesen premis untuk penjual rokok elektronik dan barangan vape.
Selangor juga mengumumkan tidak ada pembaharuan lesen untuk kedai vape di negeri itu sementara Kedah pula mendokong pendekatan tunggu dan lihat.
Nampaknya tidak ada pendirian seragam dalam isu vape ini berbanding mereka dalam perniagaan vape yang bersatu untuk menentang sebarang pengharaman vape.
Putrajaya masih belum mengumumkan pendirian mengenai vape dan hanya menangguhkan keputusannya sehingga penghujung bulan Januari 2016.
Memandangkan isu vape ini serius, sepatutnya ada pengharaman sementara di seluruh negara sehingga keputusan dibuat dan bukannya setiap negeri melaksanakan sesuatu sendiri.
Secara peribadi saya percaya sepatutnya ada pengharaman secara menyeluruh ke atas vape dan sekiranya dibenarkan, ia perlu dikawal dengan baik.
Siapa boleh menjamin vape adalah lebih selamat daripada menghisap rokok? Bagi diri saya, rokok elektronik ini adalah satu cara baru untuk menjerat generasi muda dengan masalah baru.
Sementara penghisap vape mendakwa 'vaping' membantu mereka melepaskan tabiat merokok mereka, satu analisis baru oleh Universiti California di Amerika Syarikat mendapati di sebaliknya dengan kebarangkalain penghisap vape dewasa untuk melepaskan tabiat merokok sebenarnya 28 peratus lebih rendah.
Mengenai dakwaan jus vape itu bebas daripada nikotin, pada 2009 pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat bahawa produk-produk yang didakwa bebas nikotin sebenarnya masih mengandungi bahan itu walaupun dalam kuantiti sangat kecil.
Bagi mereka yang seronok menghisap vape ini, saya ingin nyatakan di sini bahawa ia tidak menjadikan anda bergaya atau ia lebih selamat seperti mana yang didakwa.
Saya tidak kisah sama ada anda mahu hisap vape atau tidal tetapi tolong lakukannya di tempat yang dibenarkan atau jauh daripada kami yang tidak merokok ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment