Para penyelidik di negara ini diingatkan tidak "syok sendiri" dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa ini kerana setiap hasil penyelidikan mereka tidak mempunyai nilai komersial.
"Penyelidik jangan syok sendiri. Banyak R&D syok sendiri sampai hari ini hasil R&D ini tak ada nilai komersialnya.
"Menteri selalu ingatkan MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) bahawa kita masih tak puas hati dengan keputusan tersebut," kata Tajuddin.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Pameran Perdagangan dan Persidangan Herbal Asia 2015 di Pusat Pameran dan Perdagangan Matrade, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut anggota Parlimen Pasir Salak itu lagi penyelidik sepatutnya berfikir di luar kotak serta menjalin kerjasama dengan pengusaha bagi setiap produk yang ingin dihasilkan.
"Dia mesti fikir dari segi komersial. Iaitu hasil dari R&D itu dapat mencapai matlamat perniagaan.
"Industri pasaran herba ini besar sebab itu saya menyeru kepada mereka yang terlibat supaya keluar mencari pasaran dunia," kata Tajuddin lagi.
Kerajaan sebelum ini menyediakan Skim Geran Penyelidikan NKEA Herba (NRGS) yang merangkumi empat kluster penyelidikan iaitu penemuan, agronomi dan pengeluaran tanaman, pempiawaian dan pembangunan produk sebagai insentif kepada penyelidik untuk melaksanakan R&D.
Terdahulu sempena Herbal Asia 2015 satu persidangan yang bertajuk "Ke arah industri herba dan bahan semula yang lestari di abad ke 21" kini berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 3 Oktober.
Persidangan kali ini juga difahamkan bagi membincangkan dan mengupas cabaran industri herba masa kini serta mengkaji trend pertumbuhan industri herba secara mendalam.
No comments:
Post a Comment