SHAH ALAM – Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah supaya pemimpin di negara ini menjalankan amanah dan tugas awam dengan berintegriti serta bertakwa adalah selaras dengan kehendak agama.
Pendakwah, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata, Islam sememangnya mewajibkan pemimpin supaya melaksanakan tanggungjawab dengan adil dan tidak mengambil kesempatan ke atas rakyat.
“Titah Sultan Perak ini amat bertepatan dengan al-Quran yang meminta pemimpin bertanggungjawab bukan sekadar di dunia tetapi juga di akhirat.
“Agama memang minta supaya pemimpin ini laksanakan tanggungjawab secara bersungguh-sungguh, bukan hanya mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas nama seorang pemimpin,” katanya, semalam.
Menurutnya, pemimpin tidak harus menjadi pemimpin hanya sekadar untuk memenangi pilihan raya.
“Apabila mereka menang pilihan raya, mereka perlu fikir bagaimana mereka di hadapan ALLAH.
“Jika jadi pemimpin adil, pemimpin mentaati segala tanggungjawab, maka mereka akan jadi pemimpin selamat di akhirat nanti,” katanya.
Kata Ahmad Dusuki lagi, di antara pemimpin yang akan mendapat lindungan arasy ALLAH di akhirat adalah pemimpin yang menunaikan tanggungjawab dengan adil kepada rakyat.
“Mereka ini pemimpin yang tidak mementingkan keluarga dan diri sendiri, sebaliknya mengutamakan rakyat seterusnya akan berada di kedudukan baik di sisi ALLAH di akhirat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar yang turut menyokong titah Sultan Perak berkata, seorang pemimpin seharusnya menjalankan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti.
"Sebagai contoh, seorang ahli politik yang membuat undang-undang sepatutnya menghormati dan melaksana undang-undang tersebut.
"Dari segi tugasan, mereka perlu telus dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat," katanya.
Menurut Akhbar, Sultan Nazrin dikenali sebagai insan yang penuh berintegriti dan sebagai rakyat yang taat, titah baginda harus dipatuhi.
"Jika setiap pemimpin mengamalkan sikap berintegriti, sudah pasti banyak masalah dapat diselesaikan," katanya.
No comments:
Post a Comment