Thursday, October 1, 2015

Prosiding saman Anina pada PM diketahui esok

MALAYSIAKINI






Mahkamah Tinggi menetapkan esok sama ada membenarkan ataupun sebaliknya permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan prosiding saman yang difailkan bekas anggota Umno Anina Saadudin berhubung tuntutan pembayaran balik RM2.6 bilion.

Presiden Umno itu memohon pengangguhan tersebut sementara mahkamah mendengar prosiding permohonan beliau dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab. Rauf Yusoh, yang turut dinamakan sebagai defendan, untuk mengetepikan writ saman Anina.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh tersebut di dalam kamar selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Ab Rauf memberitahu pemberita, beliau mengemukakan hujah bahawa permohonan Anina wajar ditangguhkan kerana bekas anggota Wanita Umno Langkawi itu tidak mempunyai locus standi (tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman bagi pihak Umno.

Tambahnya, keahlian Anina telah gugur dengan sendirinya apabila mengambil tindakan mahkamah terhadap parti pada 28 Ogos lalu berdasarkan Fasal 20.7 Perlembagaan Umno.

Fasal tersebut menyatakan bahawa seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah sebelum mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan parti maka keahliannya dalam parti gugur dengan sendirinya.

Mohd Hafarizam berkata pada hari ini mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua defendan untuk penangguhan interim untuk memfailkan kenyataan pembelaan sehingga keputusan penangguhan prosiding esok.

"Pihak kami tidak perlu memfailkan pembelaan esok pagi sehingga keputusan dibuat sama ada permohonan kami dibenarkan atau tidak. Sekiranya mahkamah menolak, saya akan mendapatkan arahan daripada anak guam untuk tindakan seterusnya sama ada membuat rayuan ataupun memfailkan pembelaan," katanya.

Berdasarkan rekod mahkamah, pengurusan kes terhadap permohonan membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan Anina telah ditetapkan pada 6 Okt.

Pada 28 Ogos lepas, Anina, memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan antaranya bagi menuntut pembayaran balik sejumlah US$650 juta yang didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik UMNO di Singapura.

Anina diwakili peguam Mohd Hanif Khatri Abdulla.-Bernama


No comments: