Kira-kira 100 penduduk Kampung Ulu Temiang, Seremban berarak kira-kira 4 kilometer dari kampung mereka ke Istana Hinggap yang dipertuan besar Negeri Sembilan hari ini.
Ia bagi menyampaikan warkah memohon campur tangan Tuanku Muhriz bagi mendapatkan lebih pampasan selepas setinggan yang diduduki mereka diarah dikosongkan.
Bantahan tersebut dibuat selepas penduduk diarah mengosongkan tapak kediaman yang diduduki lebih 40 tahun.
Bantahan tersebut disertai beberapa pemimpin DAP, PKR dan parti Amanah Negara (AMANAH).
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke yang dihubungi Malaysiakini berkata, pemilik tanah baharu tidak memberi pembelaan sewajarnya terhadap penduduk di situ.
“Adalah tidak munasabah jumlah pampasan ditawar pemilik kepada penduduk hanya RM3,500.
Sedangkan mereka ini bukannya penduduk setinggan.
“Malah, jumlah pampasan itu hanya ditawarkan kepada keluarga 46 keluarga sedangkan terdapat kira-kira 100 buah keluarga yang tinggal di sini,” katanya.
Menurutnya, penduduk hanya akan berpuas hati sekiranya pemilik tanah terbabit bersetuju menaikkan jumlah pampasan kepada RM12,000.
“Permintaan kita bukannya terlalu tinggi jika nak dibandingkan dengan nilai tanah itu sekarang. Jumlah RM3,500 tak boleh buat apa-apa bagi membolehkan penduduk membina kehidupan di tempat baru.
“Tapi jika pemilik tanah setuju naikkan pampasan kepada RM12,000, kita akan nasihatkan penduduk supaya setuju dan minta mereka pindah secara sukarela,” katanya.
Loke berkata, penduduk kampung berkenaan diberi notis arahan pindah dalam tempoh 14 hari yang berakhir 25 Ogos lalu.
No comments:
Post a Comment