Friday, October 2, 2015

DAP tak perlu akur gesaan MCA, Gerakan mohon maaf atas dakwaan cetus perkauman - Syefura

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar

 
Post Pic


SHAH ALAM: Aktivis DAP, Syefura Othmen berpendapat parti itu tidak perlu akur dengan gesaan MCA dan Gerakan yang mahu DAP bertaubat dan memohon maaf selepas didakwa menjadi dalang kepada isu perkauman di negara ini.

"Mereka asyik menyalahkan DAP kononnya sering melaga-lagakan antara satu sama lain. Jika begitu, mengapa apa yang dibawa Umno mereka (MCA dan Gerakan) tidak bersuara?" soalnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Syefura berkata demikian mengulas gesaan MCA dan Gerakan yang meminta DAP bertaubat dan memohon maaf kerana menjadi punca tercetusnya api perkauman semasa Himpunan Bersih 4.0 baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng, kelancaran Himpunan Bersih 4.0 'dirampas' sepenuhnya oleh DAP dengan berniat buruk untuk mencapai agenda politik mereka melalui kuasa demonstrasi jalanan.

Tambahnya lagi, ia semakin buruk dengan tindakan peserta himpunan memijak gambar pemimpin-pemimpin Melayu seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta membuat istiadat yang menyinggung perasaan dan emosi kaum Melayu.

Syefura bagaimanapun berkata, perbuatan sesetengah pihak itu tidak boleh disifatkan sebagai tindakan keseluruhan yang mewakili DAP.

"Saya tidak setuju dengan tuduhan perkauman itu. Namun saya juga tidak bersetuju dengan apa juga cara atau tindakan yang dilakukan oleh sesiapa pun yang memijak gambar Najib, Anwar atau Hadi. Pada saya, tindakan itu adalah individu dan tidak boleh salahkan semua orang," ujarnya lagi.

No comments: