Jumaat, 15 Mei 2015

SPRM awasi SU politik, SU peribadi menteri

MALAYSIAKINI



 
 
 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengawasi setiausaha peribadi dan politik menteri-menteri kabinet berhubung dakwaan mereka hidup di luar kemampuan masing-masing.
 
"Kami sedang memantau mereka. SPRM tidak boleh menyerbu rumah seseorang hanya atas alasan disyaki kerana mesti ada bukti transaksi atau dakwaan amalan rasuah," kata sumber SPRM yang tidak mahu namanya disiarkan.
 
Ketika dihubungi Malaysiakini, sumber itu berkata SPRM telah mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai seperti itu pada masa lalu.
 
Katanya, atas sebab inilah badan anti-rasuah itu mahu undang-undang baru digubal untuk memaksa orang yang mencurigakan untuk mengisytiharkan harta mereka.
 
Pada masa ini tidak ada peruntukan tersebut, kata sumber itu, sambil menambah bahawa cadangan itu dibuat oleh sebuah panel dalam suruhanjaya itu.
 
Menurutnya, undang-undang baru itu akan menjadi lebih berkesan dalam menangkap mereka yang hidup di luar kemampuan masing-masing.
 
"Apabila SPRM memperkenalkan undang-undang baru, kita mahu rakyat menyokongnya," kata sumber itu.
 
Sumber SPRM itu diminta mengulas laporan Malaysiakini semalam, di mana seorang pemimpin Umno mahu suruhanjaya itu bertindak ke atas setiausaha peribadi dan politik menteri-menteri Umno yang didakwanya hidup di luar kemampuan mereka.
 
 

Tiada ulasan: