Jumaat, 15 Mei 2015

Mat Sabu: Pakatan lebih kuat jika adanya saya...

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yakin Pakatan Rakyat akan lebih kuat jika beliau terus diberi peluang berkhidmat sebagai orang nombor dua dalam parti sambil dibantu oleh rakan-rakan lain dalam PAS.

Mohamad juga berkata beliau yakin pemilihan kepimpinan parti di Kuala Selangor bulan depan akan menyumbang kepada kebangkitan gabungan pembangkang itu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Lepas pemilihan ini, kita akan lihat Pakatan Rakyat lebih kuat sebab adanya saya di situ dan rakan-rakan lain. Kalau tidak, saya tidak akan menawarkan diri sebab saya yakin.

"Saya yakin Pakatan Rakyat akan lebih kukuh dengan adanya orang seperti saya. Kita tak kompromi soal dasar parti," katanya yang enggan mengulas tokoh mana yang akan menang bagi jawatan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahmad Awang.

Beliau menjawab soalan berkaitan tanggapan umum bahawa keputusan pemilihan bakal mempengaruhi nasib Pakatan Rakyat selepas ini, ketika diwawancara dengan Malaysiakini.

Pada masa yang sama juga, beliau menyatakan keyakinannya seratus peratus mempertahankan jawatan yang disandangnya itu sejak dua penggal lalu apabila ditanya mengenai tahap keyakinannya.

"Saya yakin (mempertahankannya dengan) peratusan yang tinggi," katanya yang mesra dipanggil Abang Mat.

Diasak wartawan untuk menyatakan peratusannya, tokoh PAS berhenti sejenak untuk mencongak kekuatan sokongannya.

'Pakatan bawa perubahan'

"Seratus peratus?," tanya wartawan yang kemudiannya beliau menjawab: "Ya."

"Seratus peratus?" wartawan mengulangi pertanyaannya dengan nada teruja. Mohamad kemudiannya mengiyakan keyakinannya itu beberapa kali, "Ya, ya, ya.".

"Saya yakin perwakilan akan pilih (pemimpin) mereka yang nak pertahan dasar PAS dan juga nak bersama terus dengan Pakatan Rakyat," katanya lagi.

Dalam pemilihan PAS kali ini, pemimpin PAS itu berdepan dengan saingan empat penjuru dengan tiga lagi pemimpin kanan PAS turut dicalonkan mencabarnya.

Mereka ialah dua naib presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa. Seorang lagi ialah Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Bagaimanapun setakat ini, ketiga-tiga pemimpin itu belum menyatakan persetujuan melawan Mohamad.

Pada masa yang sama juga, beliau bagaimanapun menganggap krisis atau kemelut dalaman PAS sebagai "perkara biasa" menjelang pemilihan parti dan optimis ia "akan beransur pulih" selepas pemilihan parti itu kelak.

Di samping itu, Mohamad berkata dalam tempoh enam bulan selepas pemilihan, akan meperlihatkan kesatuan anggota kepimpinan PAS pusat menjadi satu kumpulan "yang boleh bekerjasama" dengan parti dalam Pakatan Rakyat.

"Contohnya siapa saja di antara (pemimpin PAS) yang bertanding itu yang melihat Pakatan Rakyat itu, satu 'vehicle' yang baik untuk membuat perubahan.

"Saya tak kata bahawa Pakatan Rakyat tidak ada masalah, setiap parti ada masalah. Tapi objektif bersama yang penting. Dialog berterusan mesti jalan," katanya.

'Tak boleh gerak sendirian'

Mengulas lanjut, Mohamad, yang pernah ditahan ISA, berkata Pakatan Rakyat tidak mampu untuk menawan mana-mana negeri jika ketiga-tiga parti dalam Pakatan bergerak sendirian.

"Ada Pakatan Rakyat baru boleh mencapai kemenangan. Ini sudah dibuktikan di lima buah negeri. Sebab itu saya yakin, apa jua kemelut pun, akhirnya menjelang hari muktamar, perwakilan akan memilih mereka yang memelihara Pakatan Rakyat," katanya.

Mengulas dakwaan kempen kotor menjelang pemilihan parti, Mohamad menganggap ia "satu fenomena baru yang sementara" kerana pihak yang terbabit menyuarakan padangannya tanpa mengetahui sejarah parti perjuangan, politik negara, dan perihal kaum dan lain-lain.

Beliau turut mengulangi misi dan visinya untuk mempertahankan Pakatan Rakyat dan melebarkan pengaruh PAS kepada bukan Melayu dan Islam khususnya masyarakat Cina, India serta mahasiswa dan NGO.

Ekoran popularitinya di kalangan masyarakat Tionghua yang sangat baik, Mohamad berkata beliau sering mendapat undangan dan jemputan makan malam khususnya bersama-sama dengan mereka.

"Jiwa orang bukan Islam atau orang Islam (sendiri) melihat kebenaran, melihat soal keikhlasan, soal perjuangan. Kita kata menghormati orang yang bercakap, dan dia bersungguh dalam apa yang dia cakap. Ini lumrah manusia.

"Barangkali orang bukan Islam khasnya orang Tionghua, dia lihat saya bercakap semasa belum jadi MP, semasa jadi MP dan lepas jadi MP. Komited kita menentang rasuah penyelewengan dan penindasan itu berterusan. Tak kira kaum. Misalnya kes Teoh Beng Hock apabila dia dizalimi," katanya. 


 

Tiada ulasan: