OLEH DIYANA IBRAHIM
Menteri Besar Selangor
menolak dakwaan yang kerajaan negeri di bawah tadbiran Pakatan Rakyat
(PR) itu kini berada dalam kedudukan goyah berikutan kemungkinan DAP
meninggalkan PR kerana tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud di
Kelantan.
Mohamed Azmin Ali berkata, selagi DAP belum membuat keputusan rasmi
mengenai pendiriannya berhubung perkara itu, PR akan tetap komited
mempertahankan hubungan yang dibina antara 3 parti sejak selepas pilihan
raya umum (PRU) 2008 itu.
"Ia (kerajaan Selangor goyah) tidak timbul, keputusan tidak dibuat
lagi, DAP akan mesyuarat hari Isnin," katanya mengulas mengenai
kemungkinan PR akan berpecah selepas DAP menyatakan pendiriannya Isnin
ini berhubung pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015
yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Khamis.
Kata Azmin, meskipun parti dalam PR berbeza pendapat, terutamanya
berhubung pelaksanaan hukum hudud itu, beliau berharap semua pihak
berpegang kepada proses permuafakatan.
"Hasrat kita, PR mesti dipertahankan. Kita mesti memegang prinsip
bersama yang dipersetujui. Kekuatan PR dibentuk sejak PRU ke-12
berasaskan dasar dan program bersama," kata timbalan presiden PKR itu.
"Di atas permuafakatan ini, pakatan dibina dan mencatat kejayaan.
Kerana itu, saya berharap semua pihak – PKR, DAP dan PAS – harus
berpegang kepada prinsip permuafakatan.
"Memang kita ada perbezaan pendapat dalam beberapa isu, tetapi kita
tidak mahu ia menjadi penyebab perpecahan perpaduan PR," kata ahli
Parlimen Gombak itu kepada media selepas program penyerahan notis 5A di
Kompleks Muhibbah, Taman Industri Bolton, Batu Caves.
Sekiranya DAP bertindak keluar PR, gabungan itu hanya akan mempunyai 28
daripada 56 kerusi dalam DUN Selangor, kurang satu kerusi membentuk
kerajaan negeri.
Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti itu akan
mengadakan mesyuarat tergempar jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) pada
Isnin ini berhubung pendiriannya mengenai hudud.
Lim berkata, isunya sekarang bukan sekadar undang-undang hudud, yang
dari segi prinsip dan dasarnya memang dibantahi DAP, tetapi juga soal
kepercayaan dan kejujuran beberapa pimpinan PAS di peringkat nasional
dan bagaimana mereka berpegang kepada janji.
Ditanya mengenai kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
yang mencabar DAP tidak mencampuri urusan Islam, Azmin menyarankan PR
kembali kepada semangat perbincangan bersama dalam mesyuarat pimpinan
tertinggi.
"Perkara ini tidak boleh ada cabar mencabar. Kalau ikut dasar semangat
PR, kita sentiasa berbincang. Saya percaya, atas dasar ini, banyak isu
sensitif berjaya diselesaikan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan