OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
Pengarah urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob sedia berjumpa Datuk Seri
Najib Razak di mahkamah berhubung tulisannya yang disiarkan Harakahdaily
bulan lepas.
Jumaat lepas, akhbar milik Umno Utusan Malaysia melaporkan perdana
menteri menyaman portal tersebut kerana didakwa memfitnahnya dalam isu
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Kita setuju untuk jumpa perdana menteri di mahkamah," kata Rosli
kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi petang ini selepas beliau
menerima surat saman Najib.
Keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin, yang juga ahli Parlimen Sepang, Sabtu lepas.
"Biarlah mahkamah yang membuat keputusan sama ada tulisan itu memfitnah
beliau atau tidak," kata Rosli yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS
Pusat berhubung artikel bertajuk "Dana 1MDB biayai syarikat filem Riza
Aziz?" yang dikeluarkan lidah rasmi PAS itu pada 19 Februari.
Najib menyifatkan artikel Rosli itu, yang mempersoalkan sama ada Riza –
anak kepada isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor – mendapat manfaat
daripada 1MDB, satu "fitnah pihak tidak bertanggungjawab yang tidak
lebih daripada sekadar pembohongan".
Hanipa pada satu sidang media hari ini mempertikaikan kenapa Najib
tidak turut sama menyaman akhbar The New York Times yang menyiarkan
tulisan asal dan dipetik oleh Rosli.
"Dalam surat peguam PM, ada tiga permintaan iaitu meminta tulisan itu
ditarik balik, memohon maaf dan kalau setuju minta maaf, membayar
sejumlah wang sebagai ganti rugi.
"Peguam saya menasihatkan, kita tidak bersetuju dengan semua tuntutan
itu dan akan menunggu surat saman sebenar dari perdana menteri," kata
Rosli yang merupakan bekas penolong gabenor Bank Negara sebelum
menyertai politik.
"Apabila menerima surat saman sebenar itu, kita akan putuskan apakah
tindakan sebenarnya termasuk bertemu dengan perdana menteri di
mahkamah," kata Rosli.
"Buat masa sekarang, kami tidak bercadang menarik balik tulisan itu atau memohon maaf," katanya.
Najib dalam surat melalui peguamnya menamakan Harakahdaily dan Rosli sebagai pihak yang dituntut.
Surat tuntutan saman itu dihantar kepada Harakahdaily oleh peguam Najib pada 26 Februari lalu.
"Selepas ini, terserahlah kepada mahkamah untuk tentukan sama ada
tulisan itu memfitnah atau sebaliknya dan saya ada mempunyai hujah-hujah
saya ketika menulisnya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan