Rabu, 4 Mac 2015

Rafizi: Lebih penting untuk BNM dedah penemuannya

MALAYSIAKINI


 


Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata kenyataan Kumpulan AmBank menafikan bahawa pengarah urusannya, Ashok Ramamurthy meletak jawatannya berhubung dakwaan berkaitan pinjaman berbilion ringgit kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), adalah "sudah dijangka".

Manakala beliau faham bahawa AmBank tidak boleh mendedahkan perkara dalaman, katanya, adalah lebih penting untuk Bank Negara Malaysia mendedahkan penemuannya.

Rafizi berkata, maklumat itu datang dari pemberi maklumat yang telah membantu pihaknya berkaitan dengan 1MDB sebelum ini dan sehingga ini maklumat itu adalah tepat.

Apa yang lebih penting, tegasnya, adalah untuk Bank Negara Malaysia mendedahkan penemuannya (berkaitan urusan Ambank berhubung 1MDB) dan pandangannya tentang paras hutang 1MDB.

Semalam, Rafizi yang juga naib presiden PKR mendakwa Bank Negara menemui hal yang tidak kena dalam pinjaman RM2 bilion AmBank kepada 1MDB sehingga membawa kepada pengunduran Ashok dan dua lagi pegawai atasan bank tersebut.

Hujung minggu lalu, Sarawak Report menerbitkan pendedahan yang mendakwa 1MDB telah mengalihkan AS$700 juta (RM2.5 bilion) pelaburan yang dibuat sebagai sebahagian daripada usahasama dengan PetroSaudi International, kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low.

1MDB tidak memberi respons secara khusus terhadap dakwaan berhubung AS$700 juta itu tetapi berkata ia telah memperolehi semula keseluruhan AS$1 bilion (RM3.63 bilion) yang dilaburnya dalam usaha sama itu, bersama dengan keuntungan sebanyak AS$488 juga (RM1.77 bilion).

Sementara itu, PetroSaudi berkata semua dana dari 1MDB disalurkan kepada firma PetroSaudi dan bukan kepada pihak lain.

Low masih belum memberi respons kepada pertanyaan Malaysiakini.

Tiada ulasan: