SHAH ALAM: Klip video yang memaparkan
penyampai stesen radio BFM, Aisyah Tajuddin 'mempersoalkan' tindakan
kerajaan PAS Kelantan bersabit pelaksanaan hudud, mendapat reaksi
seorang penceramah muda.
Penceramah tersebut yang merupakan salah seorang peserta program
realiti keagamaan Pencetus Ummah, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau lebih
dikenali sebagai PU Rahmat, tampil dengan sebuah video bagi menjawab
persoalan yang ditimbulkan Aisyah.
Menerusi klip video berdurasi 5 minit 46 saat itu, PU Rahmat
menjelaskan semua perkara yang ditimbulkan oleh penyampai radio itu
dengan analogi dan kupasan yang logik dan berhikmah.
Antara yang dikupas PU Rahmat adalah berkaitan dengan kenyataan Menteri
Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bahawa orang yang mengkritik hudud
adalah orang yang tidak beriman, seperti yang menjadi 'bahan jenaka'
Aisyah.
"Cuba tengok perincian ayat Menteri Besar Kelantan. Dalam ucapan beliau
di Dun Kelantan, menteri besar merujuk kepada pihak yang mendakwa
undang-undang itu zalim dan tidak berperikemanusiaan itulah golongan
yang tidak beriman.
"Macam ini Aishah, saya buat analogi. Saya ajak seseorang pergi
sembahyang. ‘Eh jom pergi sembahyang’. Dia kata, ‘tak apa. Tak nak’. Di
sini, orang itu berdosa sebab dia tak nak sembahyang. Cuma ada satu lagi
situasi, saya ajak seseorang sembahyang dan dia kata ‘tak naklah
sembahyang. Buat apa pergi sembahyang, muka letak di tanah, punggung di
langit, benda sia-sia, habis masa.’
"Nampak perbezaan pertama dan yang kedua? Yang pertama tadi dia tolak
tanpa menghina. Orang yang kedua, sudahlah menolak, dia hina, kutuk,
caci syariat Allah. Di sini, orang kedua menambah dosa serta menunjukkan
ciri-ciri orang yang tidak beriman," ujarnya panjang lebar.
Malah, perkara berkaitan gejala sosial, penggunaan dadah, kes cerai dan
penyebaran klip 3gp yang mencatatkan penigkatan di Kelantan seperti
yang dipersoal Aisyah, turut dipatahkan PU Rahmat.
"Dadah, rogol, rompak, samun, 3GP meningkat, ia membuktikan bahawa
undang-undang yang sedia ada tidak mampu mendidik manusia menjadi baik.
Kerana itu Aisyah, kita kena ubah dengan sistem ALLAH…hukuman ALLAH,"
ujar penceramah muda itu.
Klip video PU Rahmat itu yang dimuatnaik di laman You Tube sehingga
kini mencatatkan tontonan sebanyak 71, 937 dan mendapat komen positif
daripada pelayar internet.
Aisyah, yang mendakwa dikecam dan diugut susulan videonya
'mempersoalkan' pelaksanaan hudud di Kelantan, hari ini tampil dengan
permohonan maaf dan penjelasan atas tindakan tersebut.
Ujar Aisyah, video berkenaan langsung tidak bermaksud untuk menghina
agama Islam, sebaliknya ia adalah untuk mempersoalkan keutamaan kerajaan
PAS Kelantan dalam mendepani isu-isu di negeri berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan