Nurul Izzah Anwar - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
SHAH ALAM - Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah Anwar
masih belum cukup syarat untuk menggalas jawatan ayahnya di Parlimen
sebagai Ketua Pembangkang.
Meskipun esok Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR akan bertindak
sebagai ‘ketua pembangkang’ untuk membacakan ucapan bagi membahaskan
titah Diraja di Dewan Rakyat, penganalisis berpendapat perkara itu lebih
kepada statusnya sebagai anak kepada Anwar.
Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, suasana itu mampu untuk meraih
sokongan dan simpati ekoran Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mempunyai
pertalian darah dengan Anwar.
“Lebih baik untuk anak dia yang menyampaikan isi hati Anwar untuk
meraih sokongan dan simpati orang ramai,” katanya kepada Sinar Online,
hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Nurul Izzah jadi ‘Ketua Pembangkang’]
Katanya, beliau tidak melihat Nurul Izzah akan mengambil alih tugas
ketua pembangkang untuk jangka panjang, sebaliknya hanya untuk jangka
pendek.
“Untuk sementara waktu tidak ada masalah kerana ia sesuai dengan tempoh
transisi sekarang dan emosi penyokong Anwar yang masih lagi memuncak.
“Anaknya yang paling sesuai untuk sementara waktu mengungkapkan sesuatu
yang mungkin menyentuh hati orang selain dari mengemukakan
pandangan-pandangan Anwar,” katanya.
Sementara itu, Dr Jeniri berpandangan belum tiba masa untuk Nurul Izzah
memegang jawatan itu ekoran ramai lagi pemimpin lain dalam PR yang
lebih berpengalaman berbanding dirinya.
“Jadi, untuk Nurul Izzah terus memegang jawatan itu, belum sampai
waktunya. Ramai lagi pemimpin lain yang lebih layak dan berpengalaman
dalam bidang politik. Jadi, saya tidak menjangkakan beliau akan
diberikan tugas berat itu.
“Ketua Pembangkang itu bukan saja perlu bijaksana, matang dari segi emosi dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi,” katanya.
Anwar tidak dapat menghadiri sidang Parlimen berikutan menjalani
hukuman penjara kerana dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun
selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat
bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sedang mengemukakan pengampunan Diraja yang dipohon oleh keluarganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan