MALAYSIAKINI
1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak Oktober lagi berada dalam masalah
besar -- dan kepemimpinan Umno yang dekat dengan presidennya turut
dilanda masalah tersebut.
Sejak isu itu dibangkitkan dengan konsisten mulai Oktober, termasuk oleh
Dr Mahathir Mohamad, muncul desas-desus penyokong kerajaan di Dewan
Rakyat tidak bersedia membelanya.
Kelihatannya, waktu itu, hanya Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad
Maslan yang ghairah membela 1MDB, termasuk memberi jaminan RM7 bilion
dari pelaburan pesisir pantai di Cayman Islands akan dipulangkan tahun
ini.
Sejak isu ini tidak bertambah reda, malah terus menggugat 1MDB dan
Najib, sekumpulan besar pemimpin Umno bahagian menyatakan sokongan
kepada presiden mereka dalam satu pertemuan di bangunan Umno semalam.
Tetapi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula tidak hadir -- dengan
itu membuka spekulasi baru wujudnya pergeseran antara dua pemimpin
atasan negara ini.
Muhyiddin pula mengeluarkan kenyataan berani dan tegas Jumaat lalu,
sehari selepas Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan kabinet yakin
tiada salah laku pada syarikat itu.
Jabatan Audit Negara boleh menyiasat 1MDB sebelum laporan diserahkan
kepada jawatankuasa parlimen, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC),
kata PMO lagi.
Tetapi Muhyiddin pula berkata PAC boleh menyiasat kontroversi 1MDB tanpa perlu menunggu hasil audit Jabatan Audit Negara.
Beliau juga mengingatkan bahawa kerajaan tidak bersedia menyelamatkan
(bailout) syarikat pelaburan itu yang berhutang RM42 bilion. Timbalan
presiden menteri juga tidak bersetuju dengan penjualan tanah
projek-projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia.
Menariknya, walaupun kenyataannya dilihat berani dan berbeza daripada
PMO, Muhyiddin menegaskan kenyataan tidak bercanggah dengan perdana
menteri.
Syed Akbar Ali, penulis blog pro-Umno, membangkitkan persoalan tersebut
dan mempertikaikan alasan kononnya lebih 30 orang yang tidak hadir itu,
termasuk Muhyiddin, sibuk dengan urusan lain dan mereka dimaklumkan
lewat.
Kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu diulang ketua Umno Cheras
Syed Ali Alhabshee, tokoh yang dilihat dengan penganjuran pertemuan
setiakawan dengan presiden petang semalam.
Syed Ali berkata, 31 pemimpin Umno bahagian yang tidak hadir bukan
memulaukan acara itu, sebaliknya ada sebab tersendiri, termasuk notis
singkat diberikan.
“Jadi kita tidak boleh harapkan kesemua 191 ketua bahagian akan hadir.
Apa yang penting 160 orang ada di sana dan ini lebih daripada dua
pertiga.
“Mereka semua ini ketua bahagian dan bukan wakil. Kami yang minta untuk
berjumpa perdana menteri dan bukan sebaliknya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Syed Akbar juga mendengar desas-desus bahawa Najib keluar lebih awal
dalam keadaan tergesa-gesa dan enggan bertemu dengan media. Kenyataan
isu 1MDB juga dikeluarkan oleh PMO, tambahnya.
"Presiden jelas sekali mengelak isu ini. Ia bukan sama sekali bukan berita yang baik - buat Najib," katanya hari ini.
Namun, ketua Umno Cheras menafikan kempen boikot oleh Muhyiddin dan lebih 30 pemimpin lain.
"Mereka yang mendakwa adanya pemulauan cuba memprovokasi. Pada masa
lepas, Muhyiddin pernah tidak hadir, jadi apa masalahnya?" kata Syed Ali
lagi.
Beliau berkata Najib menyatakan komitmen kepada semua yang hadir bahawa
tindakan akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam sebarang
penyelewengan urus niaga 1MDB.
"Beliau (Najib) juga sangat terbuka. Ia seumpama pertemuan keluarga.
Beliau bercakap dari hatinya dan menyakinkan kita bahawa ia tidak akan
disorok. Memang ada komitmen untuk bertindak," katanya.
Syed Ali juga menuduh segelintir orang Umno menari mengikut gendang pembangkang dalam isu 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan