Isnin, 9 Mac 2015

MH370: Kini kita lebih yakin ia berakhir di Lautan Hindi - Pakar penerbangan

MH370: Kini kita lebih yakin ia berakhir di Lautan Hindi - Pakar penerbangan
 
Fakta siasatan penerbangan MH370 memberi gambaran lebih jelas dan informasi lebih meyakinkan 
 
bahawa ia berakhir di Lautan Hindi. -Gambar fail
 
 
 
KUALA LUMPUR: Fakta mengenai penyiasatan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 memberi gambaran lebih jelas dan informasi lebih meyakinkan bahawa penerbangan itu berakhir di Lautan Hindi.

Pakar Kanan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur Ahmad Maulan Bardai berkata data satelit yang dikumpul menunjukkan laluan lengkap penerbangan sebelum ia terputus hubungan sepenuhnya.

"Kini kita lebih yakin ia berakhir di Lautan Hindi.

"Analisis data dari Inmarsat menunjukkan penerbangan itu telah mengubah haluan setelah ia terbang melepasi Sumatra dan menuju arah selatan.

"Berdasarkan maklumat itu, adalah tepat pasukan mencari dan menyelamat mencari di Lautan Hindi," katanya kepada Bernama.

Laporan itu, yang dikeluarkan oleh Malaysian ICAO Annex 13 Safety Investigation Team for MH370 pada Ahad membutirkan rekod persiapan bagi penerbangan itu, komunikasi antara kokpit dengan kawalan lalu lintas udara, laluan penerbangan berdasarkan data satelit, kru dan kargo penerbangan malang itu.  

Maklumat pesawat dan sejarah penerbangan MH370 turut direkodkan alam laporan itu.

Ahmad Maulan berkata kapasiti minyak pesawat itu membolehkannya terbang menuju ke selatan.

Laporan itu mendedahkan bahawa MH370 membawa 49,100 kilogram minyak untuk tahan terbang selama tujuh jam setengah. Tempoh penerbangan yang dirancang ialah lima lam 34 minit, katanya.

"Pesawat itu boleh terbang 900 kilometer sejam. Dari masa ia berpatah balik, ia masih boleh terbang sejauh 5,400 kilometer lagi," kata Ahmad Maulan, dan menambah pesawat boleh melunsur untuk sejam lagi tanpa menggunakan minyak sebelum ia berakhir di Lautan Hindi.

Menyentuh perkara lain, beliau berkata bateri isyarat (beacon) pengesan dalam air (ULB) rekoder data penerbagan, yang dilaporkan telah luput 14 bulan sebelum kemalangan, tidak mendatangkan impak besar terhadap rakaman oleh kerana rekoder itu beroperasi menggunakan kuasa pesawat. 

"Cuma agak malang, bila bateri itu luput ia tidak dapat memancarkan isyarat bila pesawat terhempas," katanya.

Namun, beliau mengambil perhatian bagaimana bateri yang telah luput tidak ditukar dan ini terlepas perhatian dalam laporan audit keselamatan pesawat.

Ini, katanya, menimbulkan satu tanda tanya.  


Tiada ulasan: