MALAYSIAKINI
Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad mempertikaikan
tindakan sesetengah pihak yang dilihat mahu menggunakan kalimah Allah
tetapi tidak mahu hukum-Nya dilaksanakan.
Tanpa menamakan pihak tersebut, Md Alwi yang ADUN Kok Lanas itu turut
mempersoalkan tindakan pihak tersebut yang tidak bersetuju dengan
pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan.
"Baru-baru ini, sibuk sangat nak guna nama Allah sampai bawa ke mahkamah sebab nak guna nama Allah.
"Hari ini, Kelantan nak melaksanakan hukum Allah kenapa pula tak mahu?
Kenapa kamu mahu (kalimah) Allah tetapi undang-undang-Nya kamu tidak
mahu?
"Jawab soalan itu dulu," tegasnya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas pembentangan dan membahas pindaan Rang
Undang-undang Syariah 1993 di DUN Kelantan di Kota Darulnaim hari ini.
Sebelum itu, Md Alwi menjawab soalan pemberita berhubung
kenyataan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke yang ingin mengambil
tindakan terhadap PAS berhubung pelaksanaan undang-undang itu.
Sidang DUN Kelantan hari ini menyaksikan pembentangan pindaan Enakmen
Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang menyentuh tentang kesalahan jenayah
syariah hudud, qisas dan ta'zir yang terpakai kepada orang Islam yang
mukalaf.
Jenis-jenis kesalahan hudud yang termaktub dalam pindaan itu ialah,
Sariqah (mencuri), hirabah (orang yang merampas harta orang lain dengan
kekerasan), zina termasuk liwat, qazaf (membuat tuduhan zina atau
liwat), syurb (minum arak atau memabukkan), irtidad (murtad).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan