Khamis, 19 Mac 2015

K'jaan mahu perketat kawalan media sosial

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sedang mengkaji untuk meminda dan mengubahsuai undang-undang yang mengawal media sosial bagi mengurangkan penyalahgunaannya, kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Kementerian sedang mengkaji untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi meningkatkan penguatkuasaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) sama ada kementerian merancang untuk mengawal penggunaan media sosial bagi mencegah salah laku dan jenis hukuman yang akan dijatuhkan.

Ahmad Shabery berkata pindaan itu dijangka dibentangkan sama ada Oktober tahun ini atau awal tahun depan.

Katanya lagi, kerajaan telah pun mendakwa beberapa individu yang terbabit menyalahgunakan media sosial untuk mencetuskanketegangan kaum dan agama serta menghina pemerintahan beraja.

"Terdapat beberapa kes yang melibatkan mereka yang telah menghina Raja-Raja, di mana pesalah didakwa dan dikenakan denda berjumlah sehingga RM200,000.

"Kementerian juga sedang menyiasat beberapa kes lain, termasuk kes Alvin Tan dan beberapa yang lain yang telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.


Tiada ulasan: