Selasa, 17 Mac 2015

Kerajaan perkenal tempoh penasihatan GST

 
Pihak kastam akan menambah pegawai untuk menjelaskan isu-isu yang berbangkit mengenai GST supaya memudahkan rakyat menerima pelaksanaan cukai tersebut.


Chua-Tee-Yong


PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka akan menyediakan tempoh penasihatan (advisory period) selama dua tahun untuk menjelaskan isu berbangkit berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selepas 1 April nanti.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata ia adalah antara persediaan kerajaan untuk berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran yang akan wujud sebalik pelaksanaan GST kelak.

“Pihak kastam akan menambah pegawai untuk menjelaskan isu-isu yang berbangkit mengenai GST supaya memudahkan rakyat menerima pelaksanaan cukai tersebut,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Walau bagaimanapun, Chua yakin, cabaran getir yang bakal dihadapi perniaga dan orang awam hanyalah untuk tempoh yang singkat boleh diatasi.

Lazimnya, masalah berkaitan GST akan timbul apabila rakyat keliru dan kurang penjelasan berkaitan proses dan jenis barangan yang akan dikenakan GST.

“Oleh itu, kerajaan juga bersedia berdepan dengan pelbagai kritikan di awal perlaksanaanya.”

“Malah pemahaman yang kabur tentang GST juga akan menyebabkan sesetengah pihak salah tafsir pelaksanaan ini dan kita juga terpaksa hadapi semua cabaran itu,” katanya.

Sebelum ini, ahli veteran UMNO yang juga Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengkritik tindakan kerajaan melaksanakan GST dan mempersoalkan sama ada hasil yang dikutip daripada sistem percukaian baharu itu akan digunakan untuk membiayai hutang kerajaan.

Beliau berkata cukai berkenaan akan hanya menambahkan beban rakyat susulan kemerosotan ekonomi negara.

Tiada ulasan: