Isteri sukarelawan polis maut dikelar Yashmin dipercayai dikelar penjenayah dalam bilik tidur ini.
 
 
GUA MUSANG - Rasa tidak sedap hati seorang anggota sukarelawan polis terhadap keselamatan isteri dan tiga anak di rumah ibarat petanda kejadian menimpa keluarganya apabila isterinya maut dikelar dalam kejadian samun, awal pagi semalam.

Mohd Azrul Isahak, 30, menemui isterinya, Yashmin Fauzi, 26, berlumuran darah dengan kesan kelar di leher dan terbaring di jalan hadapan rumah mereka di Kampung Batu Papan, di sini kira-kira jam 2.50 pagi.

Mohd Azrul yang melihat kejadian itu terus memanggil bapanya, Isahak Deris, 52, untuk membawa mangsa ke Hospital Gua Musang (HGM), namun mangsa meninggal dunia jam 6.40 pagi selepas empat jam menerima rawatan.

Menurut Mohd Azrul, dia baru memulakan tugas jam 1 pagi dan rasa tidak sedap hati dengan keselamatan isterinya di rumah menyebabkan beliau bergegas pulang dan terkejut dengan apa yang berlaku.

Katanya, isterinya sedang tidur dalam bilik ketika dia keluar bekerja, sebelum penjenayah yang dipercayai lebih daripada seorang itu menceroboh masuk menerusi pintu dapur.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketiga-tiga anak lelakinya berumur lima bulan, lima dan enam tahun yang berada dalam bilik sama tidak dicederakan.

“Isteri saya ditinggalkan di tengah jalan hanya 100 meter dari rumah.

“Saya mengesyaki isteri saya itu dikelar dalam bilik tidur sebelum diheret keluar dan ditinggalkan di tengah jalan,” katanya.

Mohd Azrul berkata, dia dan isteri tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan tidak menyangka penjenayah itu sanggup berlaku kejam ke atas isterinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.