Isnin, 9 Mac 2015

'Hadis' roti jala: Ustaz Asri-Kazim berdamai

MALAYSIAKINI


  


Kedua-dua mereka sama muda dan sama popular. Mereka masih bertenaga dan mempunyai penyokong untuk terus bergasak, tetapi itu bukan pilihan.

Malam ini, setelah hampir seminggu, Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin dan penceramah popular Datuk Mohd Kazim Elias memilih untuk berdamai.

Selepas meletus kontroversi 'hadis roti jala' beberapa hari lalu, kedua-dua mereka malam ini masing-masing memuat naik gambar mesra dalam sebuah acara makan malam di Kangar.


Ia antaranya paparkan mereka duduk semeja, bersalaman dan saling berbalas senyuman dalam majlis yagn dihadiri Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail.

“Minum dan tersenyum.”

Begitu Dr Asri menyifatkan pertemuannya dengan Kazim yang sebelum ini ditolaknya sebagai penceramah untuk program sempena keputeraan raja Perlis.

“Kami minum dan makan dengan mesra sebagai saudara Muslim di kafe yang sedap menunya, Cafe Blackwood, Kangar,” tambahnya lagi.

Kazim pula tidak mengulas banyak dan hanya menyifatkan pertemuan di sebuah restoran itu sebagai “santai”.

Program itu turut dihadiri Yang Di-pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asri pada 4 Mac memuat naik kandungan surat rasminya yang menolak Kazim, yang pernah ditawar menganggotai Majlis Tertinggi Umno, ekoran didakwa “terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu”.

Asri juga memuatkan keratan buku Tuhan Sedang Menguji Kita karya Kazim yang menunjukkan ustaz berstatus 'selebriti' itu berkata nabi pernah menjamu "kurma dicelup tepung” dalam kenduri termurah baginda.

Manakala, menurut buku itu, kenduri Rasulullah yang paling mahal pula adalah roti jala dicelup dengan kuah kari.

Kazim, ustaz berstatus selebriti itu kemudian berkata tindakan Asri tidak adil dan memalukannya.

Jelasnya, beliau hanya membuat perbandingan bahawa di negara ini roti jala yang dicecah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

Tiada ulasan: