Rabu, 18 Mac 2015

DAP persoal baki RM 462 juta bantuan mangsa banjir, bimbang disalahguna

Anthony_Loke

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Peruntukan RM 800 juta mangsa banjir seluruh negara yang diumumkan tahun lalu dipersoalkan apabila perincian penuh perbelanjaannya tidak didedahkan Kementerian Kewangan, selain wujud percanggahan fakta.

Peruntukan RM 800 juta diumumkan 5 Januari lalu oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, namun ketika ditanya di Parlimen, hanya sedikit jawapan diberikan, tanpa perincian penuh.

Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke berkata, hanya RM 338 juta perincian bantuan dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Saya telah bertanya dalam Dewan Rakyat fasal peruntukan RM 800 juta ini. Namun jawapan dari wakil menteri kewangan(Shahidan Kassim) sangat mengecewakan,” kata Anthony pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Saya telah buat kira-kira sendiri berdasarkan jawapan tersebut yang ada sedikit perincian. Nampaknya, menteri hanya jelaskan RM 338 juta sahaja peruntukan.

“Kita nak tanya kerajaan, mana lagi peruntukan RM 462 juta yang baki itu?

“Kita risau jika tak ada perincian, ada kemungkinan salah guna di situ,” tegas Anthony.

Percanggahan Najib dan Shahidan tentang ‘darurat’ dan ‘perolehan darurat’

Tambah Anthony isu banjir baru-baru mendedahkan percanggahan antara Perdana Menteri Najib Tun Razak dan Shahidan.

Ini berikutan dakwaan Shahidan wujudnya ‘perolehan darurat’ ketika menjawab soalan dari ahli parlimen itu.

“Pada Disember 2014, semua orang tahu Najib enggan isytihar darurat kerana katanya supaya mangsa banjir senang membuat urusan (tuntutan) insuran.

“Tapi dari jawapan Shahidan hari ini, beliau sebut peruntukan kewangan tersebut dibelanjakan bagi menampung ‘keperluan perolehan darurat serta perbelanjaan melancarkan pengurusan operasi’.

“Ini bercanggah dengan kenyataan PM yang kata tak ada darurat.

Kita nak tanya Shahidan, apa yang beliau maksudkan dengan ‘perolehan darurat’ itu?” soal Anthony lagi.

Mana laporan MKN?

DAP sebelum ini menggesa kerajaan membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat punca bencana terburuk tanah air November lalu, selain pengiraan jumlah kerugian sebenar.

Namun, pentadbiran Najib enggan melakukannya, sekaligus menimbulkan persoalan ketelusan kerajaan bagi menyelesaikan masalah bencana banjir.

“Jika kerajaan tak mahu tubuh RCI, saya desak kerajaan bentangkan laporan lengkap Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dengan laporan MKN itu, kita mahu ada tindakan segera dari kerajaan. Kita mahukan ketelusan supaya semua orang tahu,” tegas Anthony. – Roketkini.com

Tiada ulasan: