KUALA LUMPUR: DAP diminta akur pada
hakikat hudud adalah perjuangan PAS sejak sebelum Pakatan Rakyat
ditubuhkan justeru segala tindakan yang diambil parti itu ke arah
menjayakan hasratnya tidak perlu dipertikaikan.
Begitu juga dengan tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
yang menghantar notis supaya Parlimen membenarkan kerajaan negeri
Kelantan membawa usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian pelaksaan
hudud pada sidang akan datang, tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat,
Nasruddin Hassan Tantawi.
"Ini adalah hak PAS Kelantan, yang mana soal enakmen hudud itu
mendahului tarikh penubuhan PR. Adalah sesuatu yang tidak munasabah
apabila selepas tertubuhnya PR, kita (PAS) kena batalkan keputusan yang
pernah dibuat sejak 1993.
"Membawanya (usul RUU) ke parlimen adalah sebagai satu kesinambungan
untuk memastikan enakmen hudud yang pernah diluluskan suatu ketika
dahulu dilaksanakan di Kelantan.
"Ia adalah proses yang demokrasi dan rakan-rakan PR kena
menghormatinya. Paling tidak bersetuju pun, mereka boleh ambil sikap
'bersetuju untuk tidak bersetuju', tanpa perlu mengugut dan menyingkir
PAS. Itu satu tindakan yang tidak harmoni dalam keadaan kita bersepakat
dalam satu gabungan," demikian menurut Ahli Parlimen Temerloh itu.
Hadi pada Khamis lalu menghantar usul kepada Setiausaha Dewan Rakyat
meminta agar RUU Persendirian kerajaan negeri Kelantan untuk
melaksanakan hudud dibentang pada sidang akan datang, tanpa dimaklumkan
kepada Pakatan Rakyat terlebih dahulu.
Tindakan bersendirian Hadi itu menerima kecaman daripada DAP dan PKR,
yang menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu melanggar ketetapan yang
dicapai semasa Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) pada 8
Februari lalu.
Hadi juga dituduh sebagai pengkhianat kepada Pakatan Rakyat semata-mata kerana penghantaran notis itu.
"Sokong atau tidak (RUU) bergantung kepada sesi perbahasan dalam
Parlimen. Ahli-ahli parlimen berhak untuk menerima atau menolak.
"Tiada sebarang paksaan untuk bersetuju atau tidak dengan hujah. Tugas
kami untuk menyampaikan dan bentangkan di parlimen," ujarnya dengan
lebih lanjut lagi.
DAP akan bermesyuarat pada malam ini untuk mengambil ketetapan
berhubung tindakan bersendirian Hadi termasuk kelulusan pindaan Enakmen
Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang diluluskan kerajaan Kelantan minggu
lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan