Jumaat, 6 Mac 2015

Blogger pro-Umno mungkin muflis gagal bayar ganti rugi AirAsia

OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA


Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia berkata ia akan meneruskan tindakan memfailkan prosiding kebankrapan terhadap seorang blogger kerana gagal membayar RM5 juta selepas memenangi kes saman. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Mac, 2015.Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia berkata ia akan meneruskan tindakan memfailkan prosiding kebankrapan terhadap seorang blogger kerana gagal membayar RM5 juta selepas memenangi kes saman. – Gambar fail The Malaysian Insider.



Blogger pro-Umno Salahuddin Hisham mungkin diisytihar muflis jika gagal membayar ganti rugi kepada syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd, yang memperolehi penghakiman terhadapnya dalam satu kes saman fitnah.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, ia meneruskan tindakan memfailkan prosiding kebankrapan terhadap Salahuddin kerana gagal membayar RM5 juta bagi ganti rugi keterlaluan dan ganti rugi teladan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur September lalu memberikan jumlah tersebut kepada AirAsia selepas Salahuddin didapati bersalah atas tindakannya.

AirAsia juga memperoleh injunksi terhadap penulis blog itu supaya tidak mengulangi perkataan fitnah tersebut. Bagaimanapun, butiran saman tersebut masih belum diperolehi.

Pada awal Januari, seorang lagi blogger Amizudin Ahmat, diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana tindakan menghina melalui penerbitan artikel berunsur fitnah terhadap bekas menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Amizudin, 44, dipenjara kerana gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu, yang mendapatinya bersalah melakukan penghinaan.

Rais pada 2011 memperoleh perintah injunksi terhadap penerbitan artikel di blog Amizudin tetapi ia tidak dipatuhi.

Mahkamah Tinggi pada 2012 memutuskan Amizudin bersalah menghina mahkamah kerana melanggar perintah tersebut.

Tiada ulasan: