OLEH V. ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Bekas komando
polis Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar yang
dijatuhi hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia Altantuya
Shaariibuu tidak akan bertindak balas terhadap saman RM100 juta yang
difailkan bapa mangsa.
Peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Azilah, dan Datuk Kamarul
Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul, semasa perbicaraan jenayah,
berkata mereka masih belum menerima sebarang arahan daripada mereka
berdua berhubung saman sivil itu.
"Saya menulis surat kepada firma guaman (Karpal & Co) memaklumkan
mereka yang saya tidak menerima arahan untuk bertindak bagi pihak
Azilah," kata Hazman.
Kamarul memberikan jawapan yang sama apabila ditanya sama ada beliau
akan membela diri dalam saman yang difailkan bapa Altantuya, Setev
Shaariibuu.
Azilah kini dikurung bersendirian di penjara Sungai Buloh selepas
Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan
keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan mereka.
Sirul berlepas ke Australia sebelum mahkamah tertinggi itu menyampaikan
keputusan akhir tetapi ditangkap di Queensland pada 20 Januari dan kini
ditahan di Pusat Imigresen Villawood di Sydney susulan amaran merah
dikeluarkan Interpol terhadapnya.
Sementara itu, peguam Ramkarpal yang mewakili Setev berkata,
mendapatkan penghakiman ingkar ialah satu pilihan yang ada pada anak
guamnya.
Setev memfailkan saman itu pada 2007, setahun selepas anak perempuannya yang ketika itu berusia 28 tahun, dibunuh.
Kedua-dua anggota polis tidak membela diri, tidak seperti kerajaan Malaysia dan kekasih Altantuya, Abdul Razak Baginda.
Setev memohon ganti rugi bagi "penderitaan, kesedihan, dan penderitaan fizikal dan mental".
Beliau memfailkan saman itu bagi pihak isterinya Altantsetseg Sanjaa,
dan dua cucu mereka, Mungunsha Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga,
yang masih kecil.
Pasangan suami isteri itu merupakan penjaga anak-anak Altantuya
sekarang. Anak keduanya mengidap penyakit yang memerlukan rawatan dengan
kos yang mahal.
Saman itu sebelum ini ditangguhkan kerana Mahkamah Tinggi mahukan perbicaraan jenayah diselesaikan dahulu.
Razak, sekutu rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini
didakwa terlibat dalam kes itu namun dibebaskan kemudiannya.
Kerajaan memfailkan pembelaan dan berkata mereka tidak bertanggungjawab
kerana dua bekas anggota polis itu melakukan tindakan berkenaan
bersendirian.
Razak sementara itu menafikan mengetahui berkenaan pembunuhan itu.
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tun Ariffin Zakaria pada
13 Januari menjatuhkan hukuman mati terhadap dua bekas anggota polis
itu.
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar, yang
mengeluarkan penghakiman berkata pendakwaan membuktikan kesnya tanpa
bukti yang diragui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan