Rabu, 18 Mac 2015

ADUN BN Kelantan sokong hudud

 
UMNO sejak sekian lama berjuang mempertahan, menegak serta mengembangkan syiar Islam.


Datuk-Nozula-Mat-Diah


KOTA BHARU: Kesemua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan menyokong usul Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 atau lebih dikenali dengan hukum hudud dan qisas.

Sokongan itu dinyatakan olkeh Ketua Pembangkang, Datuk Nozula Mat Diah kerana jelasnya, UMNO sejak sekian lama berjuang mempertahan, menegak serta mengembangkan syiar Islam di negara ini.

Sehubungan itu, kata beliau, enakmen, peraturan atau undang-undang yang ingin diperke­nalkan dengan tujuan mengukuhkan takrifan Islam sebagai agama rasmi Malaysia akan disokong oleh UMNO.

“Apa sahaja yang baik untuk Islam kita akan sokong, malah kita antara yang menyokong ketika enakmen tersebut diluluskan buat pertama kali pada 1993,” katanya selepas menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), lapor Utusan Malaysia.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 diluluskan DUN Kelantan lebih 20 tahun lalu, namun kembali dibentangkan esok berikutan terdapat beberapa pindaan melibatkan orang bukan Islam serta hukuman ke atas kesalahan zina dan liwat.

Selepas pembentangan pindaan di DUN, PAS merancang melanjutkan pembentangan di Dewan Rakyat menerusi rang undang-undang persendirian untuk meminda Perkara 76(A)(1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada negeri ini melaksanakan enakmen tersebut.

Usaha PAS turut mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang menzahirkan sokongan dan harapan baginda supaya perkara itu dapat direalisasikan ketika menyampaikan titah sempena perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Sidang DUN Kelantan Ke-13 semalam.

Bagaimanapun, rancangan itu ditentang keras rakan sekutu PAS, terutama DAP yang secara konsis­ten dengan pendirian bahawa pelaksanaan hudud tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan selain terkeluar daripada polisi bersama pakatan pembangkang.

Tiada ulasan: