MALAYSIAKINI
Kementerian Kerja Raya mengesahkan tiada isu gelinciran pada Jambatan
Sultan Yahya Petra di Kota Baharu, Kelantan seperti yang tersebar di
media sosial.
Menurut kenyataan kementerian hari ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah
melakukan penyiasatan dan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang
gelinciran jambatan itu daripada tiang asal seperti yang didakwa.
"Kumpulan pakar JKR Malaysia dan JKR Kelantan akan melakukan pemantauan
berterusan bagi memastikan jambatan itu berada dalam keadaan baik dan
selamat," katanya.
Ia menjelaskan bahawa bahagian 'crosshead' tiang sambut yang dimaksudkan
memang dibina lebih lebar daripada yang lain dan direka bentuk tanpa
'pile cap' dengan cerucuk dipanjangkan hingga ke 'pier head'.
Ini bertujuan meminimumkan masalah hakisan di Sungai Kelantan.
"Reka bentuk ini menyebabkan berlaku pergerakan lebih besar antara
lantai jambatan apabila terkena hentakan yang mana ia tidak
membahayakan, malah lebih kukuh daripada biasa dengan penambahbaikan
reka bentuk cerucuk jambatan," kata kenyataan itu.
Jambatan itu yang menghubungkan bandar Kota Baharu dengan Pasir Pekan,
Tumpat masih ditutup kepada lalu lintas berikutan paras air di Sungai
Kelantan meningkat melepasi struktur berkenaan.
- Bernama
No comments:
Post a Comment