Adalah menjadi kebiasaan kepada rakyat, malah disuburkan oleh pemimpin untuk berhimpun beramai-ramai pada malam tahun baru di lokasi strategik seperti Dataran Merdeka, Bukit Bintang dan lapangan terbuka di negerinegeri, menunggu detik 12.00 tengah malam bagi menandakan permulaan tahun baharu.
Sambil menunggu, biasanya orang ramai dihidangkan dengan persembahan artis. Di majlis seperti inilah berlaku pergaulan bebas lelaki perempuan dan daripadanya membawa kepada pelbagai kemungkaran seperti menogok minuman keras, melakukan mukadimah zina seterusnya berzina, meragut, mencuri malah sampai membunuh sekalipun.
Di negara kita, adalah begitu mudah mendapatkan minuman keras. Ia dijual secara terbuka termasuk di kedai mesra 24 jam.
Sekali pun ditandai dengan perkataan kecil bahawa arak adalah haram kepada orang Islam dan penjualannya ditegah ke atas individu yang berusia kurang 18 tahun, penjualannya begitu berleluasa, anak-anak muda begitu bangga meneguk air syaitan itu. Buktinya, selepas tamatnya perhimpunan ramai itu, akan ditemui bekas tin minuman keras, malahan di tepi-tepi pantai penemuan bekas tin minuman keras adalah biasa, menunjukkan betapa hebatnya anak-anak muda berpesta sakan.
Bagi kita perkembangan ini ada kaitan dengan gelagat sesetengah pemimpin yang cenderung kepada kegiatan merugikan yang membuka ruang-ruang maksiat.
Contohnya pada malam tahun baru, pemimpin turut menyertai rakyat melakukan ‘countdown’ (mengira terbalik...3,2,1) dan balik hingga awal pagi. Pepatah Melayu ada menyebut, bapa borek anak rintik, bagaimana acuan begitulah kuihnya dan apa yang disemai itulah yang dituai. Jika pemimpin sebagai penyemai, menanam benih lalang, maka akan suburlah anak lalang di negara kita ini.
Sebagai negara Islam contoh, kita terasa malu apabila maksiat berlaku secara nyata. Lihatlah, kedai-kedai judi tumbuh bagaikan cendawan, manakala premis menjual arak dibuat secara terbuka manakala iklannya berleluasa pula.
Satu lagi perkara memualkan adalah eksploitasi wanita secara terang-terangan yang mendapat dukungan pihak berkuasa. Ambil contoh penggunaan gadis-gadis litar yang berpakaian seperti tidak cukup kain di pesta perlumbaan seperti F1. Tidak cukup dengan syarikat minyak antarabangsa yang mempamerkan gadis seksi, Petronas yang menjadi kebanggaan kita pun tidak kurang hebatnya. Kita mahu bertanya pemimpin termasuk peneraju Petronas ada apa kaitan antara lumba kereta dengan gadis seksi?
Apakah kehadiran gadis seksi akan membolehkan kereta atau motosikal dipecut lebih laju?
Kita nyatakan perkara ini kerana kita cinta dan sayangkan negara ini termasuk masyarakatnya. Kita tidak mahu Allah SWT turunkan bala kepada kita angkara maksiat yang semakin berleluasa termasuk yang disuburkan oleh sang penguasa.
Sesungguhnya kemusnahan bumi Aceh akibat tsunami dan gempa di Padang, sewajarnya menginsafkan kita bahawa Allah SWT boleh pada bila-bila masa saja menghukum kita.
Sekarang pun, bagi orang yang ada fikiran, mereka sudah merasakan bahana akibat daripada keterlanjuran kita menyuburkan maksiat. Tidak sedarkah kita bahawa kehidupan kita kini tidak seaman dulu walaupun pemimpin kerap menguar-uarkan negara kita paling aman dan makmur di dunia. Pembunuhan, perampokan, kejadian ragut, rogol dan aneka maksiat semakin berleluasa, seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Sementara itu kehidupan rakyat semakin tertekan sekali pun diuar-uarkan negara ini antara yang paling kaya di dunia!
Sempena pengakhiran tahun 2014 dan awal tahun 2015, sukacita diingatkan adalah haram hukumnya menyertai kegiatan (seperti berpakaian Santa Klaus), memasang pokok Krismas, memotong kek apatah lagi menyambut Hari Krismas (Hari Natal) dan Tahun Baharu Masihi. Sila rujuk kepada artikel di www.voa-islam.com bertajuk ‘Haram Merayakan Natal dan Tahun Baru’. – Lanh14.blogspot. com
No comments:
Post a Comment