KELANA JAYA - Tabung Haji (TH) akan mengkaji semula tempoh giliran menunggu untuk menunaikan haji bagi setiap pendaftaran yang setakat ini ditetapkan pada 60 tahun.
Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata perkara itu akan
diteliti dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk faktor kesihatan
dan juga umur pemohon.
"Faktor umur adalah yang paling utama kerana kami akan bagi peluang
kepada individu berumur 65 tahun ke atas yang belum pernah menunaikan
haji untuk pergi terlebih dahulu.
"Dari segi kesihatan pula, ia bersandarkan kepada ujian pemeriksaan
kesihatan yang dijalankan, dan jika mereka lulus ujian itu, kami akan
lepaskan mereka untuk mengerjakan haji," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri majlis mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan
ketiga jemaah Haji Malaysia di Kompleks TH di sini.
Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah
dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat
mengucapkan selamat jalan kepada 279 bakal jemaah haji yang dijangka
tiba di Tanah Suci pada jam 10.50 malam ini.
Abdul Azeez berkata TH juga akan mengkaji semula prosedur pendaftaran
bagi mereka yang pernah menunaikan haji memandangkan bilangan
pendaftaran kini mencecah 1.5 juta pemohon.
"Memandangkan 60 tahun satu penantian yang sangat panjang, jadi kepada
pemohon yang ingin menunaikan haji semula selepas lima tahun kami
terpaksa halusi pemilihan mereka," katanya.
Katanya, sehingga kini TH menerima 7,000 rayuan daripada mereka yang
tidak terpilih untuk mengerjakan haji, namun atas pengurangan kuota yang
dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi, rayuan itu hanya akan diteliti dan
dipilih mengikut kekosongan yang ada.
"Tempoh waktu menunggu giliran akan berkurangan daripada tempoh asal
yang diberitahu ketika mendaftar kerana ada juga di antara pemohon yang
terpilih sudah meninggal dunia atau pun mengalami sakit yang
berpanjangan," katanya.
Beliau berkata, untuk tahun seterusnya, pemilihan giliran menunaikan
haji akan dijalankan secara tegas dan teliti dengan mengambil kira
pelbagai faktor, supaya setiap pemohon berpeluang mengerjakan haji.
"Pada tahun ini, kuota haji hanya 22,320 jemaah berbanding 27,900 jemaah tahun lepas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan