Ahad, 31 Ogos 2014

Tahaluf Siyasi kekal di dalam Pakatan - Pesuruhjaya PAS Selangor

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Krisis jawatan Menteri Besar Selangor akan menjadi topik hangat yang akan dibincangkan pemimpin dan perwakilan sewaktu Muktamar Tahunan PAS kali ke-60 akan datang.
 
Bagaimanapun Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berpendapat tiada keperluan untuk mengkaji semula konsef Tahaluf Siyasi yang diamalkan PAS-PKR-DAP selama ini meskipun kemelut politik di Selangor sedikit sebanyak menggoncang kerjasama dan semangat setiakawan mereka di dalam Pakatan Rakyat (Pakatan).
 
"Muktamar PAS tahun ini berkemungkinan isu MB Selangor akan menjadi isu utama. 
 
"Tahaluf siyasi perlu memberi keuntungan kepada Islam. Namun tugas untuk memastikan ia bawa keuntungan adalah tanggungjawab PAS. Dengan kerjasama sekarang, kena fikir bagaimana Islam dapat keuntungannya," katanya yang ditemui Antarapos.
 
Muktamar PAS kali ke-60 akan diadakan buat pertama kalinya di Johor pada 18 hingga 20 September akan datang.
 
Umum mengetahui pergolakan landskap politik Selangor dengan isu pertukaran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Khalid pada Selasa lalu telah mengadap sembah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menyampaikan hasrat peletakan jawatannya.
 
Namun Tuanku Sultan mahukan Khalid terus menjalankan tugas seperti biasa dan dalam masa yang sama menitahkan Pakatan Rakyat menghantar sekurang-kurangnya dua nama sebagai calon Menteri Besar.
 
Kemelut dalaman antara PAS-PKR-DAP jelas kelihatan apabila pendirian masing-masing tidak senada dalam menentukan calon menteri besar, apabila PAS enggan mengikuti dua rakannya mencalonkan Wan Azizah.
 
Bagaimanapun Iskandar melihat permasalahan tersebut sebagai sebahagian fasa untuk mendewasakan Pakatan secara keseluruhannya.
 
"PR baru wujud akhir 2008. Walaupun kami belum berdaftar sebagaimana Umno, namun kita masih ada perjalanan yang panjang. Untuk melaluinya kita akan bertemu dengan masalah. Lebih baik masalah berlaku sekarang daripada berlaku hampir pada pilihan raya," ujar Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar itu.

Tiada ulasan: