Saya yakin krisis Menteri Besar Selangor yang berlanjutan sehingga ke hari ini tidak akan berlaku sekiranya pihak-pihak yang terbabit – termasuk pihak Istana, ahli politik dan media – menurut langkah, iaitu undang-undang yang termaktub di dalam peruntukan serta semangat Perlembagaan.
Kita perlu ingat bahawa peruntukan ini menggunapakai konvensyen perlembagaan Westminter kerajaan British. Kerana itulah Suruhanjaya Reid memberitahu kita agar melihat kepada amalan berkurun lama di negara itu di dalam laporannya, yang dilampirkan bersama-sama deraf akhir Perlembagaan Persekutuan pada 1957.
Mari kita mulakan dengan meninjau undang-undang bagi perkara ini. Tetapi sebelum itu, kita perlu sedar bahawa Perlembagaan tidak wajar difahami secara harfiah (literal); ia perlu dibaca di dalam kerangka di mana demokrasi dan kedaulatan undang-undang diamalkan. Seperti juga terma berkenaan budi bicara Sultan melantik menteri besar – atau Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri di negeri-negeri tanpa Raja – tidak boleh dianggap kebebasan melakukan apa sahaja. Sebetulnya, Sultan hanya memiliki budi bicara sebenar jika sidang dewan undangan negeri (DUN) tidak pasti siapa calon bagi jawatan tersebut; sesuatu yang digelar ‘parlimen tergantung’. Dalam keadaan itu, DYMM Sultan boleh memohon nama-nama atau bercakap dengan ahli dewan undangan negeri (ADUN) secara langsung. Dan jika baginda masih belum pasti, Sultan boleh membubarkan Sidang DUN bagi memberi laluan kepada pilihanraya; untuk memberi rakyat peluang memilih kerajaan yang stabil bagi membantu baginda.
Di zaman moden ini, parti-parti politik selalunya telah memilih calon
yang mereka mahukan bagi menerajui kerajaan. Inilah antara sebab
perlantikan bagi seorang Perdana Menteri tidak lagi menjadi satu isu;
ia telah menjadi amalan kebiasaan dan ketua negara (atau Raja) hanya
menerajui majlis rasmi bagi menghulurkan watikah perlantikan kepada
pemimpin yang dipilih parti majoriti di Sidang DUN atau Parlimen. Dalam
kata lain, ketua kerajaan hanya perlu menurunkan tandatangan di
watikah perlantikan. Inilah intipati kerajaan berkabinet di bawah
sistem Westminster di mana Perdana Menteri dan kabinet perlu menjawab
kepada Parlimen dan bukannya pihak istana.
Inilah juga penjelasan undang-undang di sebalik peralihan kuasa
daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak Hussein selepas
Tragedi 13 Mei. Perkara yang sama berlaku ketika Tun Abdullah Ahmad
Badawi mengambil alih daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003. Satu
lagi majlis sepertinya berlaku apabila Datuk Seri Mohd Najib Razak
menggantikan Abdullah pada 2009. Awal tahun ini, kita saksikan Tan Sri
Taib Mahmud berundur diri, lantas memberi laluan kepada Tan Sri Adenan
Satem menjadi Ketua Menteri Sarawak. Dalam situasi tersebut, ketua
negeri sendiri sanggup memberi kedudukan dan jawatannya kepada Taib!
Kejadian yang serupa terjadi beberapa bulan lalu di Terengganu apabila
Sultan memberi watikah perlantikan kepada Menteri Besar baharu Datuk
Ahmad Razif, tiga jam selepas Umno memutuskan Datuk Seri Ahmad Said
perlu berundur daripada jawatan itu.
Apa yang terjadi di Selangor seharusnya sama: parti majoriti di
Sidang DUN mahu menukar peneraju pentadbiran kerajaan negeri. Alasannya
jelas: Menteri Besar yang ada, Tan Sri Khalid Ibrahim bertindak
mengabaikan manifesto Pakatan Rakyat yang telah diberi kepada warga
Selangor dan melakukan beberapa perkara mengikut kemahuannya sendiri.
Maka DYMM Sultan Selangor, sewajarnya berbincang dengan parti yang
diwakili Khalid, PKR dan bukannya meminta MB itu terus menjalankan
tugas pada 11 Ogos lalu. Tambahan pula, Khalid telah disingkir PKR dua
hari sebelum itu. Tetapi DYMM Sultan Selangor melakukan sebaliknya:
selepas meminta Khalid kekal menjalankan amanah mentadbir kerajaan,
baginda menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadap.
Kerana kedudukan Sultan di atas politik mengikut sistem Raja
Berperlembagaan, tindakan tersebut agak tersasar. Pihak Istana harus
dilihat berkecuali serta tidak menyebelahi mana-mana pihak di dalam hal
ini.
Kemudian pada 25 Ogos, Anwar
memberitahu partinya masih menunggu perkenan untuk mengadap DYMM
Sultan Selangor. Ia mengejutkan kerana pada 14 Ogos, Dr Wan Azizah Wan
Ismail telah menampilkan bukti melalui perakuan bersumpah bahawa 30
daripada 56 Ahli DUN menyokong beliau. Perakuan bersumpah itu
menjadikan presiden PKR sebagai peneraju yang sah di dalam kerajaan
Selangor. Perlu dijelaskan bahawa Perakuan Bersumpah tersebut telah (i)
menggantikan budi bicara Sultan bagi melantik Menteri Besar, (ii)
menjadikan kedudukan Khalid sebagai MB tidak sah dan (iii) mengenepikan
sebarang langkah membubarkan Sidang DUN Selangor. Tindakan pembubaran
DUN bertentangan dengan Perlembagaan dan juga amalan demokrasi.
Namun, kita wajar melihat apa yang terjadi di United Kingdom sendiri
di dalam menilai amalan undang-undang di Malaysia. Pada 1990, Ratu
Elizabeth II tidak berbuat apa-apa apabila Perdana Menteri Margaret
Thatcher disingkir Parti Konservatifnya. Peralihan kuasa tidak berjalan
lancar dan krisis itu menyebabkan pertembungan kuasa di dalam parti.
Akhirnya John Major, seorang menteri di dalam kabinet Thatcher,
diisytihar pemenang. Major mendapatkan watikah perlantikan daripada
Istana Buckingham bagi menerajui kerajaan Konservatif yang baru.
Istana Selangor wajar membenarkan Dr Wan Azizah Wan Ismail melakukan
perkara yang sama. Beliau telah menanti terlalu lama dan warga Selangor
berhak melihat pentadbiran kerajaan negeri pulih seperti sediakala.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan