Khamis, 28 Ogos 2014

Haji: Selamat berangkat dan jangan lupakan Aqsa

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABD AZIZ 


SELAMAT keberangkatan dipenuhi barakah dan rahmat-Nya yang luas buat seluruh anggota jamaah haji negara yang akan menunaikan kefardhuan ibadah haji pada tahun ini.

Penerbangan pertama yang bermula awal pagi tadi sungguh menarik dan menenangkan apabila ia seperti mengiringi sambutan kemenangan jihad umat Islam di bumi #Gaza dan Palestin yang penuh barakah seperti halnya tanah suci Mekah dan Madinah.

Kita mengimpikan kebebasan tanah suci al-Aqsa sebagaimana bebasnya tanah suci Mekah dan Madinah agar kita mampu dan bebas beribadah kepada Allah di ketiga-tiga masjid dan tanah suci tersebut.

Perkataan 'Khadimul Haramain' yang menjadi gelaran untuk penguasa di Arab Saudi adalah amat mencacatkan jika tiada usaha daripada penguasa itu untuk pembebasan bumi suci ketiga yang telah diulang sebut di dalam al-Quran dan al Sunnah berulang kali yang mengisyaratkan kewajiban dan tanggung jawab umat ke atasnya, serta kesatuan bumi tersebut untuk dijaga dan dijadikan tempat ibadah umat paling berprestij di sisi ugama.

Impian kita itu adalah satu kewajiban. Kini, HAMAS berada di barisan depan umat berjuang membebaskan al-Aqsa dengan segala kepunyaan mereka termasuk nyawa dan diri daripada penjajahan Yahudi laknatullah. Manakala kita dan seluruh umat mestilah membantu mereka sebagai pembantu yang teguh dan benar. Selain doa, kita wajib menyumbang harta agar pejuang dan rakyat Gaza yang terkepung terus gagah menempuh jihad yang penuh cabaran dan ujian daripadaNya itu.

Justeru kemenangan HAMAS di medan perang dan di meja rundingan yang diisytiharkan malam semalam adalah cukup manis untuk disyukuri. Perang 50 hari menghancur leburkan bangunan-bangunan di bumi Gaza, tetapi kemenangan bukan diukur pada jumlah kehancuran dan kematian, tetapi ia diukur pada matlamat perang yang berjaya dicapai.

HAMAS dan rakyat Palestin kini  diambang memperoleh kebebasan yang menjadi hak mereka dan seluruh kehidupan manusia. Manakala Israel kini ditimpa malu dan kehinaan yang mencomot hitamkan wajah bongkak dan ego mereka di mata dunia. Semoga Allah terus menjaga jihad benar dan suci di bumi Palestin.

Justeru saat umat Islam memasuki musim haji yang bermula kini, alangkah indahnya disyukuri nikmat kemenangan ini.

Ibadah haji adalah lambang kebebasan sebagaimana ia juga adalah lambang pengabdian. Saat umat Islam bersatu hati, pakaian, bumi dan manasik  haji mempersembahkan pengabdian paling tulus kepada Allah, ia juga bermaksud mengisytiharkan pembebasan diri dan umat daripada ketundukan dan pengabdian kepada selain Allah. Umat Islam adalah umat yang bebas daripada segala selain Allah.

Malangnya, realitinya umat ini adalah sebaliknya. Mereka masih belum bebas, bahkan lebih parah, masih belum sempurna pengabdian diri mereka kepada Allah.

Umat Islam dikepung oleh musuhnya daripada pelbagai sudut dan medan. Mereka dipaksa menerima sistem  politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan pemikiran yang bercanggah dengan dasar tauhid. Itulah nasib dan realiti umat kini.

Justeru kebangkitan umat adalah satu tuntutan dan kefardhuan.

Semoga ibadah haji menjadi pencetus yang hebat. Semoga jihad agung di bumi Palestin juga menjadi pencetus yang hebat.

Semoga anggota jamaah haji Malaysia dan seluruh umat Islam yang akan menunaikan kewajiban ibadah haji pulang dengan haji mabrur dan mendapat keredhaan Allah yang tertinggi. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: