WARTA UTARA
LANGKAWI
- Pesakit di daerah ini boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu
lagi berasak-asak untuk menaiki bot laju dengan penumpang lain bagi
mendapatkan rawatan hospital di tanah besar.Perkhidmatan bot ambulans
laut yang beroperasi sejak Februari lalu membolehkan kerja-kerja
pemindahan pesakit yang berada di Hospital Langkawi menjadi lebih mudah,
lancar dan cepat.
Sejak beroperasi, ambulans laut yang berkelajuan 25 knot itu telah memberi perkhidmatan kepada lebih kurang 15 kes setiap bulan.
Bukan itu sahaja, ambulans laut ini dilengkapi dengan kemudahan dua
tempat untuk membawa pesakit dewasa dan satu untuk kanak-kanak, selain
dua bilik untuk kakitangan hospital dan dua lagi untuk pengendali
ambulans laut tersebut.
Pengarah Urusan JMV Tradetech, Ku Azhar Ku Abdul Razak berkata,
dengan adanya kemudahan ambulans laut ini, pesakit tidak perlu lagi
menggunakan perkhidmatan feri penumpang jika perlu mendapatkan rawatan
segera di hospital lain di tanah besar.
"Perkhidmatan ini memberi keselesaan kepada pesakit dan mereka tidak perlu berasak-asak di dalam feri penumpang.
"Pesakit juga akan dibawa segera berbanding sebelum ini yang terpaksa
menunggu lama dan perlu mengikut jadual feri penumpang," katanya di
sini baru-baru ini.
Syarikat tersebut mendapat kepercayaan daripada Kementerian Kesihatan
dan Kementerian Kewangan untuk menjalankan perkhidmatan tersebut dengan
menyediakan sebuah ambulans laut khas untuk membawa pesakit.
Kata Ku Azhar, perkhidmatan tersebut diharapkan dapat memberi keselesaan kepada penduduk di saat-saat berlaku kecemasan.
"Dengan perkhidmatan ini, pesakit tidak perlu lagi menunggu lama
untuk mendapat rawatan dan merasa lebih selesa. Paling penting, mereka
tidak lagi malu dilihat penumpang lain.
"Sebagai anak Langkawi, saya merasa bangga apabila dipilih untuk
menjalankan perkhidmatan ambulans laut ini bagi membawa pesakit yang
bermastautin di sini. Perkhidmatan ini juga memberi kemudahan kepada
pelancong yang ditimpa musibah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan