Rabu, 27 Ogos 2014

Anwar enggan dedah MP berpaling tadah

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mendedahkan nama para MP yang didakwa setuju berpaling tadah untuk membantu Pakatan Rakyat membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum 2008.

Anwar ditanya beberapa kali oleh peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendedahkan senarai nama yang didakwa diperolehi oleh ketua pembangkang itu untuk meraih majoriti bagi membentuk kerajaan persekutuan.

MP Permatang Pauh tersebut pada awalnya enggan menjawab soalan berkenaan, susulan bantahan oleh peguamnya, Razlan Hadri Zulkifli, yang berkata soalan tersebut tidak berkaitan.

Anwar ditanya mengenai perkara itu dalam pendengaran kes saman Anwar ke atas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Pesuruhajaya Kehakiman, Siti Khadijah Hassan Badjenid bagaimanapun berpendapat soalan itu adil dan mengarahkan Anwar menjawabnya.

Shafee seterusnya berkata soalan itu bagi menguji kewibawaan Anwar memandangkan ketua pembangkang tersebut memfailkan saman berkenaan dan tampil di kandang saksi.

Anwar bagaimanapun menjawab bahawa ujian ke atas kewibawaannya berhubung perkara itu perlu dibuat di Parlimen dan bukannya di mahkamah.

"Kami menulis surat kepada Parlimen bahawa kami mahu mengemukakan usul tidak percaya ke atas perdana menteri pada waktu itu (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

“Saya tidak akan bertindak demikian sekiranya tiada jumlanya (ahli parlimen yang menyokong). Ujiannya bukan di mahkamah tetapi di Parlimen,” katanya lagi.

Siti Khadijah bagaimanapun enggan menerima jawapan tersebut dan memaksa Anwar memberi jawapan.

Shafee: Boleh anda kemukakan senarai 40 orang MP yang bersimpati, yang perlu ke Taipei (Taiwan)?

Anwar: Tidak. Saya tidak akan kemukakannya kerana ia amat tidak beretika!

Tiada ulasan: