Jumaat, 29 Ogos 2014

NGO S'gor bidas PKR, DAP hanya mahu calon Azizah

MALAYSIAKINI


Beberapa NGO di Selangor hari ini membidas tindakan PKR dan DAP yang tetap bertegas hanya mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar baru.
  
Presiden Persatuan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb) Mazli Saring berkata tindakan kedua-dua parti itu jelas mencabar kedaulatan undang-undang negeri itu yang memberi kuasa kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memutuskan calon yang layak menjadi menteri besar.
  
"Parti-parti dalam Pakatan Rakyat harus sedar bahawa untuk dapatkan kuasa mereka perlu menghormati orang yang berkuasa (Sultan Selangor) tetapi mereka bersikap biadap kerana apa? kerana mereka bukan anak Selangor.
  
"Anwar Ibrahim (Datuk Seri), Wan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Saifuddin (Datuk Saifuddin Nasution Ismail) dan Mohamed Azmin Ali bukan anak Selangor. Orang yang bukan anak Selangor inilah yang  bersikap biadap kepada sultan kami," katanya dalam sidang media di di Shah Alam semalam.
  
Mazli turut mengalu-alukan pihak terbabit supaya 'keluar' dari Selangor jika tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran di negeri itu dan mengingatkan pemimpin PKR dan DAP supaya tidak berterusan mencabar institusi diraja.

"Nak namakan (calon) menteri besar pun tidak pandai bagaimana nak mentadbir Selangor? Belajar tinggi-tinggi tetapi tidak mahu ikut
arahan (Sultan)," katanya.
  
Pengerusi Angkatan Rakyat Sedar (Aras) Abdul Rahim Abdul Wahab berkata PKR dan DAP sepatutnya akur dengan titah baginda yang mahukan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar Selangor.
  
Beliau berkata tindakan kedua-dua parti itu yang tetap bertegas mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal menteri besar jelas menunjukkan mereka ingkar terhadap titah Sultan Selangor.
  
Penasihat undang-undang kepada Pasmeb dan Aras, Ahmad Jufliz Faiza pula berkata walaupun Undang-undang Tubuh Kerajaan negeri Selangor menyatakan bahawa Sultan perlu mengikut pandangan sokongan majoriti ADUN Selangor dalam pelantikan menteri besar, tetapi keputusan muktamad tentang siapa calon yang layak perlu mengikut budi bicara baginda yang mutlak.
  
"Sultan punyai kuasa untuk pilih sama ada menteri besar itu layak mentadbir Selangor dan situasi ini turut berlaku di negeri lain seperti Perak dan
Kelantan. Konvensi perlu dihormati dan kalau ahli politik tidak hormati konvensi susahlah," katanya.
  
Sementara itu, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin berkata rakyat Selangor sudah semakin muak dengan gelagat pemimpin politik dalam isu menteri besar ini yang digambarkan sudah menjadi pembuat dan penambah masalah, bukan penyelesai masalah.
  
"Yang Selangor perlukan adalah pemimpin rakyat yang berjiwa besar dan bersifat negarawan yang dapat membantu Sultan Selangor mengharungi kepimpinan masa depan negeri yang lebih gemilang," katanya dalam satu kenyataan.
  
Selasa lepas, Sultan Sharafuddin menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor sehinggalah menteri besar baru dipilih.
  
Baginda juga menitahkan kepada PAS, PKR dan DAP supaya masing-masing mempersembahkan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar untuk pertimbangan istana. - Bernama
 

Tiada ulasan: