Khamis, 28 Ogos 2014

'Anwar akan jadi MB sebenar Selangor‘

MALAYSIAKINI


 


Bekas presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berpendapat, pentadbiran negeri Selangor akan dikuasai Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya isteri kepada ketua umum PKR itu dilantik menjadi menteri besar Selangor.

Pelantikan itu juga menunjukkan DAP membuang segala prinsip yang didukung, demi menyokong isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik menjadi menteri besar, dakwa Chua.

Katanya, tidak sukar untuk melihat bahawa Anwar akan menggunakan pengaruhnya sekiranya Wan Azizah dilantik ke jawatan tersebut.

Tambahnya, beliau tidak berniat untuk menyerang Wan Azizah secara peribadi.

“Malah, saya mengagumi beliau atas kesabarannya, kerendahan hatinya dan dedikasinya pada Anwar,” katanya dalam tulisan di blog drchua9.blogspot.com.

Bagaimanapun, negeri tersebut menuntut prestasi pentadbiran yang cemerlang, katanya.

“Kita menaruh harapan tinggi pada Wan Azizah untuk menunjukkan prestasi cemerlang, dan bukan hanya satu boneka.

Cakap tak serupa bikin

“Orang di sebalik takhta itu tentulah suaminya. Anda tidak perlu menjadi saintis roket untuk memahami perkara ini,” katanya.

Chua seterusnya mendakwa DAP “tidak cakap serupa bikin” melalui tindakan itu.

“DAP sering mentertawakan dan mengejek MCA kerana pemimpinnya tua, berbanding DAP yang mempunyai muka-muka baru yang muda, bijak dan otak bergeliga.

“Namun, bila berdepan dengan soal kewajaran dan kelangsungan politik mereka, kesemua nilai yang kononnya diperjuangkan itu dibuang ke Sungai Klang yang kotor demi menyokong Wan Azizah,” katanya.

Chua juga berkata Pakatan Rakyat kini tewas dari segi moral ekoran krisis politik Selangor.

“Jangan kita lupa, dalam pilihan raya umum 2008, rakyat menyokong Pakatan dengan harapan mereka akan membawa era baru politik dengan muka baru, lebih mesra rakyat, kurang perseteruan politik, lebih telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Kemenangan itu diperkukuhkan lagi dalam pilihan raya umum 2013, namun krisis di Selangor mengubah segalanya, kata Chua.

“Kami mencium bau pekung pergaduhan politik dalaman di kalangan parti Pakatan,” katanya.

Tiada ulasan: