MALAYSIAKINI
Kes keganasan yang dilakukan kumpulan pekerja sebuah kilang di Kulai,
Johor semalam bertambah buruk pada malam tadi sehingga menyebabkan
sebahagian dari struktur bangunan tersebut musnah terbakar.
Kejadian itu berlaku selepas rundingan di antara pekerja dan juga pihak pengurusan menemui jalan buntu.
Menurut
polis, seramai 44 orang pekerja, kebanyakannya warga Nepal, ditahan
susulan dua kejadian merusuh yang bermula pada jam 10 pagi semalam
dengan perbuatan membakar sebuah kereta.
Dalam kejadian malam tadi, para pekerja berkenaan seterusnya membakar
tiga buah bangunan milik syarikat elektronik yang disenaraikan di bursa
saham, termasuk stor kilang tersebut pada kira-kira jam 8 pagi.
Kebakaran, tersebut berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba pada jam 10.05 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, DSP Mohad Idris Samsuri berkata, seramai 13 orang ditahan dalam kejadian terdahulu.
Mereka ditahan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, berhubung kesalahan memiliki senjata maut dalam rusuhan.
“Buat masa ini, pekerja berkenaan direman dan tindakan akan diambil seperti dibincangankan dengan kedutaan (Nepal),” katanya.
Mohd Idris berkata polis turut menguruskan pertemuan dengan wakil
pekerja yang ditahan dan juga pengurusan syarikat, dengan kehadiran
pegawai kedutaan sebagai orang tengah dan jurubahasa.
Katanya, rusuhan kedua bermula pada kira-kira jam 4 petang selepas
perbincangan dengan pekerja dan pengurusan “tidak dapat dikawal”.
Kilang tutup operasi
Katanya, pihak pengurusan hanya bersetuju untuk memberikan pekerjs satu hari cuti, dan tidak akan memenuhi tuntutan lain.
Sementara itu, setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, K Mohanadas
berkata, para pekerja itu mengadu kerana tidak mendapat akses perubatan
selain keadaan tempat tinggal dan tempat kerja yang teruk.
Syarikat terlibat pula, JCY International Berhad dalam satu kenyataan di
Bursa Malaysia mengesahkan bahawa kebakaran dan rusuhan pekerja itu
berlaku di kilang milik anak syarikatnya, JCY HDD Technology Sdn Bhd.
“Bagaimanapun, tiada kerosakan teruk pada kilang milik syarikat dan anak
syarikat itu,” kenyataan itu ahli lembaga syarikat dipetik.
Kenyataan oleh ahli lembaga syarikat tersebut menyebut, kes berkenaan
menyebabkan operasi kilang tersebut dihentikan buat sementara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan